Najib Razak

KUALA LUMPUR – Belum reda dengan isu skandal 1MDB ke dalam silibus sejarah Malaysia yang baharu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali sinis terhadap Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

Terbaharu, Najib menempelak Maszlee yang didakwa masih gagal mengemudi kementerian itu sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Putrajaya.

“Sampai hari ini kita tidak tahu apa sumbangan positif dia kepada sistem pendidikan, ibu bapa, pelajar, mahasiswa.

“Tapi memang baiklah kalau sudi belajar, Maszlee. Insya-Allah ada masa kita akan beri pendapat dan cadangan,” nasihat Najib di Facebook beliau.

Dua hari lalu, Najib menempelak tindakan Maszlee yang memberi jaminan memasukkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam silibus sejarah Malaysia yang baharu.

Kata Najib, tindakan itu umpama memperalatkan generasi muda sekali gus menganiaya masa depan mereka.

Ia ekoran kenyataan Maszlee bahawa skandal 1MDB bakal dimasukkan ke dalam silibus mata pelajaran sejarah Malaysia sebagai usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan kesalahan tersebut tidak diulang generasi akan datang.

Penambahan silibus baharu itu menurut beliau termasuklah senarai kes-kes besar khazanah negara yang didakwa berkaitan dengan pimpinan terdahulu.

Najib turut mengajak rakyat Malaysia menilai pencapaian yang dipamerkan oleh Maszlee sejak menjadi Menteri Pendidikan.

“Maszlee nilai dirinya 9.95 daripada 10.

Saudara-saudari beri dia berapa skor? Kalau dia tahu nilainya di mata rakyat, tak lena dia dan malam ini dia main lagu Linkin Park lagi,” katanya lagi.

Maszlee yang jugak Ahli Parlimen Simpang Renggam semalam berkata dirinya masih belajar selok belok menjadi menteri Kabinet dan sedar harapan terhadapnya adalah begitu tinggi.

“Saya tidak akan menilai diri saya sebagai seorang menteri dalam tempoh enam bulan ini, tetapi saya menilai diri saya sebagai seorang yang sedang belajar.

“Saya akan memberikan diri saya 9.95 daripada 10,” katanya memetik laporan Malaysiakini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast