Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo mengangkat tangan bersama ahli jawatankuasa yang baharu pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2018 di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 09 DISEMBER 2018.

PETALING JAYA – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo terpilih menerajui DAP Selangor sebagai Pengerusi bagi penggal 2018- 2020 kelak.

Beliau yang mendapat undi sebanyak 393 itu sudah di khabarkan sejak kebelakangan ini untuk menjadi Pengerusi menggantikan Tony Pua yang menyandang jawatan itu sebelum ini.

Timbalan Pengerusi pula akan disandang oleh Ean Yong Hian manakala dua Naib Pengerusi pula Ng Swee Lim yang juga merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau.

Bagi jawatan Setiausaha, ianya disandang oleh Ronnie Liu manakala penolongnya pula Ong Kian Ming dan Bendahari ialah Ng Sze Han.

Ketika ditemui pemberita, Gobind melahirkan rasa gembira dan mengucapkan terima kasih kerana diberikan peluang menerajui negeri Selangor bagi penggal ini.

“Saya rasa sangat gembira, lebih dari itu rasa syukur apatah lagi kegembiraan ini berganda dengan kemenangan kita pada PRU yang lalu.

“Saya mahu fokus dengan akar umbi di negeri ini, itu antara objektif utama saya kali ini, kini kuasa kita lebih luas dan besar, banyak yang perlu dan akan dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Tony Pua melahirkan sedikit rasa kecewa dan terkilan namun kekalahan beliau bukan sesuatu yang melemahkan dirinya daripada kekal komited dengan parti khasnya di Selangor.

“Tentu kecewa sedikit tetapi tidak apa, saya komited dengan perjuangan parti dan akan terus bersama walauapapun yang berlaku,” tegasnya ringkas. -MalaysiaGazette