Kerajaan bersedia mengukur sempadan perairan Malaysia dan Singapura bagi melihat sama ada benar kapal Malaysia menceroboh perairan republik itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Singapura telah mencadangkan untuk bertemu dengan Malaysia bagi membincangkan pewujudan Kawasan Larangan kekal oleh Kuala lumpur bagi tujuan aktiviti ketenteraan meliputi ruang udara Pasir Gudang berkuatkuasa 2 Jan 2019.

SINGAPURA – Singapura memfailkan satu deklarasi di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) bagi memastikan Malaysia tidak memulakan prosedur timbang tara atau penghakiman unilateral pihak ketiga berhubung pertikaian sempadan maritim antara kedua-dua negara.

Sehubungan itu, Singapura juga tidak boleh memulakan prosedur timbang tara atau penghakiman pihak ketiga secara unilateral terhadap Malaysia.

Seorang jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Singapura telah memfailkan deklarasi itu semalam mengikut Perkara 298(1)(a) UNCLOS. MFA berkata Singapura sudah memaklumkan kepada Malaysia tentang langkah yang diambilnya itu.

“Deklarasi ini bermakna negara lain yang menyertai UNCLOS tidak boleh secara unilateral memulakan prosedur timbang tara atau penghakiman pihak ketiga terhadap Singapura berhubung pertikaian sempadan maritim.

“Begitu juga halnya, Singapura tidak boleh secara unilateral memulakan prosedur timbang tara atau penghakiman pihak ketiga terhadap negara lain yang menjadi pihak dalam pertikaian seperti itu,” kata jurucakap berkenaan dalam kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan media tentang deklarasi berkenaan.

Jurucakap itu berkata Singapura percaya pertikaian tentang penyempadanan kawasan maritim paling elok diselesaikan melalui rundingan bagi mencapai penyelesaian secara baik yang boleh diterima semua pihak.

Bagaimanapun, jurucakap itu berkata, “sekiranya ia tidak dapat dicapai, Singapura bersedia menyelesaikan pertikaian seperti itu melalui prosedur penyelesaian pertikaian antarabangsa pihak ketiga mengikut syarat yang dipersetujui bersama oleh semua pihak”.

MFA berkata “sekiranya timbul sesuatu pertikaian yang tidak dapat diselesaikan melalui rundingan, Singapura akan bekerjasama dengan negara lain yang menyertai konvensyen itu bagi mencapai kata sepakat tentang pemilihan forum dan isu khusus yang akan diputuskan agar perkara berkenaan dapat dikemukakan kepada pihak penimbang tara atau penghakiman”.

“Ini lebih elok daripada satu pihak bertindak secara unilateral membawanya kepada pihak penimbang tara atau penghakiman, tanpa terlebih dahulu mencapai persetujuan bersama tentang isu-isu penting ini,” katanya.

Menurut MFA, banyak negara yang menyertai UNCLOS seperti Perancis, Kanada, Itali, Sepanyol, Australia dan Thailand telah membuat deklarasi serupa.

Wakil Singapura dan Malaysia dijadual mengadakan pertemuan pada minggu kedua Januari 2019 untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat tentang pertikaian sempadan maritim yang sedang berlaku antara kedua-dua negara.

“Singapura barharap, melalui libat urus satu sama lain, kedua-dua kerajaan akan mencapai penyelesaian secara baik dan cepat, dengan berlandaskan undang-undang antarabangsa,” kata MFA.

Kementerian itu juga berkata “Singapura tetap komited untuk mencapai penyelesaian secara aman berhubung pertikaian itu”.

“Singapura akan terus menjunjung tinggi undang-undang antarabangsa dan sentiasa komited untuk mencapai penyelesaian secara aman bagi pertikaian itu, dengan berlandaskan undang-undang antarabangsa.”

Singapura dan Malaysia terlibat dalam pertikaian berkaitan sempadan maritim dan republik itu mendakwa tindakan Malaysia mengubah had pelabuhannya di Johor Bahru menceroboh perairan wilayahnya di Tuas.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast