Sokong memo PPBM
Muhammad Fadzli Hasan

KUALA LUMPUR – Walaupun pemimpin DAP, P. Ramasamy membidas bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana membenarkan Armada menyerahkan memorandum agar Perdana Menteri memecat P. Waytha Moorthy, sokongan makin menyebelahi tindakan Menteri Belia dan Sukan itu.

Hari ini Majlis Belia Malaysia (MBM) pula tampil mempertahankan kenyataan Syed Saddiq dan menyokong memorandum sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu (PPBM) yang mendesak Waytha Moorthy dipecat segera.

Syed Saddiq yang membalas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu memberi amaran supaya jangan menghalang suara anak muda di negara ini yang tidak bersandarkan kepada politik perkauman.

Timbalan Presiden MBM, Muhammad Fadzli Hasan berkata, desakan Syed Saddiq yang juga merupakan Ketua Pemuda Pakatan Harapan membuktikan majoriti belia di Malaysia menolak pemimpin yang gagal melaksanakan tanggungjawab dalam menangani isu perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“MBM juga menegaskan bahawa sokongan yang diberikan pihaknya bukan bermotifkan politik, sebaliknya mendokong keberanian Syed Saddiq dalam menyuarakan desakan itu sebagai mewakili kebenaran dan keberanian yang dituntut masyarakat berbilang kaum.

“Malah ia (memorandum) juga mewakili suara belia yang rata-rata tidak berpuas hati dengan prestasi pencapaian Menteri Perpaduan (Waytha) itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 20 Disember lalu, Ramasamy membidas pimpinan Pemuda PPBM itu selepas ia mendesak Waytha meletak jawatan kerana didakwa gagal meredakan ketegangan apabila keganasan meletus dalam isu kuil Seafield.

Pemimpin DAP itu menyifatkan memorandum itu suatu penghinaan terhadap Dr Mahathir yang melantik Waytha, dan mahu mereka ditegur.

Syed Saddiq membidas ADUN Perai itu yang mendesak supaya tindakan terhadap Exco Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin dari PKR dan Pemuda Amanah Terengganu serta Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin kerana turut mendesak Waytha berundur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast