BEIJING – Mahkamah China mengarahkan perbicaraan semula terhadap pertuduhan menyeludup dadah oleh seorang rakyat Kanada selepas pendakwa raya berkata hukuman selama 15 tahun terlalu ringan.

Kes itu dilihat akan meningkatkan ketegangan dalam hubungan Beijing dan Ottawa.

Hubungan kedua-dua negara tegang selepas Kanada menahan Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wangzhou atas perintah Amerika Syarikat awal bulan ini serta penahanan dua rakyat Kanada.

Robert Lloyd Schellenberg telah didakwa atas pertuduhan itu pada tahun 2016 dan membuat rayuan selepas dikenakan hukuman 15 tahun penjara pada 20 November lalu.

Dalam permohonan itu, pendakwa raya memaklumkan hukuman yang dikenakan sangat ringat dan tidak sepatutnya kerana Schellenberg berpotensi menjadi sebahagian daripada operasi penyeludupan dadah antarabangsa dan memainkan peranan besar dalam aktiviti jenayah itu.

Mahkamah telah menerima hujah tersebut dan mengarahkan perbicaraan semula.

Sementara itu, Menteri Luar Ottawa berkata, pihaknya tahu mengenai kes tersebut dan akan terus menyediakan bantuan kepada tertuduh dan keluarganya.

Portal berita kerajaan Dalian berkata, Schellenberg telah menyeludup sebilangan besar dadah ke China.

Kesalahan dadah menerima hukuman yang teruk di China. – MalaysiaGazette