KUALA LUMPUR – Bekas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma dan Akta Pencegahan Jenayah (Poca), Maria Chin Abdullah menentang hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu mengekalkan dua akta itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya memberitahu, Sosma dan Poca adalah undang-undang yang buruk dan tidak boleh dipinda kerana ia mengenakan penahanan tanpa perbicaraan.
Katanya, adakah Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin akan membatalkan penahanan tanpa dan memberi kuasa kepada polis menahan seseorang itu selama 28 hari tanpa bicara?
“Macam saya yang pernah kena tahan bawah Sosma hanya hari pertama saya dapat, selepas itu saya tanya, tapi tak ada akses.
“Sekiranya Pendakwa Raya membuat aduan dan memohon saya dikenakan di bawah tahanan Sosma, saya akan dimasukkan dalam penjara semula.
“Sampai habis perbicaraan baru saya boleh dilepaskan. Saya rasa ini menjejaskan hak asasi manusia dan adakah perkara ini akan diteruskan,” katanya sebagaimana dilaporkan FMT hari ini.
Semalam Muhyiddin berkata, kerajaan tidak berhajat menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan sejak 2012 dan akan menggunakan undang-undang yang ada bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.
Katanya, hasil dapatan sebuah jawatankuasa yang dibentuk mendapati undang-undang seperti Sosma dan Poca adalah penting dan harus dipertahankan walaupun mungkin memerlukan beberapa pindaan kelak.
Maria yang pernah ditahan di bawah Sosma selama 10 hari turut mempersoalkan adakah pengekalan akta Sosma dan Poca akan membolehkan mereka yang ditahan mempunyai akses kepada peguam dan keluarga.
Beliau juga turut mempersoalkan wanita yang dibicara di bawah dua akta itu diletakkan peranti pengawasan elektronik.
“Kalau perbicaraan mahkamah belum selesai mereka akan diletakkan peranti pengawasan elektronik yang tidak tahu berapa kilometer dia tidak boleh keluar dari kawasan itu.
“Jadi macam mana tahanan itu akan kerja kalau dia tidak boleh keluar dari kawasan dia? Kalau dia ditahan di Terengganu, tapi kerja di Kuala Lumpur macam mana?” soalnya.
Sementara itu, Penasihat Lawyers For Liberty, N Surendran pula berkata, pemansuhan Poca dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu dan Muhyiddin seharusnya tidak memungkiri janji itu.
Katanya, itu adalah janji penting mengenai kebebasan awam, manakala Poca membenarkan tahanan tanpa perbicaraan seperti ISA, maka ia tidak seharusnya dipertahankan.
“Muhyiddin seharusnya hentikan daripada mendengar unsur-unsur tertentu dalam pasukan polis dan Kementerian Dalam Negeri yang mahukan Poca dikekalkan,” katanya.
Mengulas mengenai Sosma pula, Surendran berkata, pihaknya tidak mengetahui apa pindaan yang diperkatakan oleh Muhyiddin.
“Bagaimanapun, apa-apa pindaan seharusnya meluas, ia seharusnya menghapuskan semua tahanan dan perbicaraan yang tidak adil dalam Sosma,” katanya. – MalaysiaGazette















