Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertanya khabar kepada S. Sukumaran dan isterinya, M. Karnegi ketika hadir menyampaikan sumbangan pihak NGO Nadi Rakyat di Kampung Padang Jawa, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 14 JANUARI 2019

KLANG – Kisah seorang bapa dan anaknya mengambil upah mencuci kereta di sekitar Shah Alam, mendapat perhatian khusus mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak yang bermurah hati membantu meringankan beban keluarga itu.

Najib bersama kepimpinan Nadi Rakyat Malaysia dan UMNO Bahagian Shah Alam, bertandang ke rumah S. Sukumaran , 40, di Kampung Padang Jawa 2, di sini kira-kira jam 4 petang ini untuk menyampaikan bantuan berbentuk kewangan dan bekalan makanan.

Ketika ditemui wartawan, Najib yang merupakan bekas Presiden UMNO memberitahu, beliau mendapat tahu kisah menyayat hati yang berlaku kepada keluarga S. Sukumaran melalu media sosial dan terus datang ke rumah bapa kepada dua anak itu untuk bertanya khabar.

“Saya membaca kisah sedih ini yang tular dalam laman Facebook dan bersama Nadi Rakyat Malaysia serta kepimpinan UMNO Bahagian Shah Alam serta negeri datang ke sini untuk bertanya khabar dan membantu apa yang perlu.

“Saya dapati S. Sukumaran ini tidak mempunyai pekerjaan tetap. Dia dengan bantuan anaknya, Sharmini yang berusia 12 tahun mencari rezeki dengan mencuci kereta di tapak parking di sekitar Shah Alam,” katanya.

Beliau bagaimanapun, tidak menjelaskan berapa jumlah bantuan yang diberikan kepada keluarga itu, sebaliknya memberitahu, dua anak S. Sukumaran iaitu Sharmini dan adiknya Harigaran yang berusia enam tahun dapat meneruskan persekolahan.

Katanya, anak bongsu S. Sukumaran boleh memulakan persekolahan di tadika selepas terbantut kerana tidak mampu membayar yuran berjumlah RM480.

“Saya akan selesaikan masalah yuran ini dan ada sedikit bantuan untuk mereka menikmati hidup dengan lebih baik, insya Allah,” katanya.

Najib mengambil masa kira-kira 20 minit untuk bertanya khabar S. Sukumaran dan isterinya, Kannagi, 39, yang menumpang di sebuah rumah sewa yang agak daif dan jauh dari penempatan penduduk di kampung itu.

Sharmini yang bersekolah Tahun 6 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) Ladang Midland, Seksyen 7, dekat sini, terpaksa membantu bapanya mencuci kereta selepas waktu persekolahan.

Ketika ditemui Malaysia Gazette di rumahnya, dia berkata, bapanya memerlukan bantuannya seperti mengangkat air untuk mencuci kereta kerana uzur selepas terlibat dalam kemalangan beberapa tahun lalu.

Ibunya pula mengidap penyakit asma dan sakit dalam perut, menyebabkan tidak dapat membantu keluarga mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan harian, sewa rumah sebanyak RM300 sebulan dan yuran persekolahan adiknya di sebuah tadika.

“Selepas kisah hidup kami tular, saya dipanggil oleh Guru Besar. Dia (Guru Besar) cakap saya tidak boleh bantu bapa lagi kalau pakai pakaian seragam sekolah.

“Selepas itu, sebaik pulang dari sekolah, saya terus pulang ke rumah salin pakaian dan keluar bersama ayah ke tempat parking kereta di Seksyen 9 untuk mencari rezeki,” katanya.

Sementara itu, Kannagi ketika ditemui memberitahu, selepas kisahnya tular dia sering menerima panggilan daripada orang yang tidak dikenali, yang memaklumkan kononnya hendak membantunya.

Bagaimanapun, ujarnya, beliau tidak berani keluar berjumpa lelaki berkenaan kerana mencurigai niat mereka untuk ‘membantu’.

“Saya dinasihatkan oleh ahli keluarga supaya tidak lagi menjawab panggilan telefon, kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini menimpanya.

“Mungkin lelaki itu anggap saya sudah ada duit hasil sumbangan orang ramai yang bersimpati dengan hidup saya, tetapi saya sentiasa mengambil langkah berhati-hati,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Now that you have time to be with fellow Rakyat, it will be good, you share some of the ill gotten wealth taken with those in needs. At least it cleanse your image.

    Kudo, bring in more. Do you think the family was in such state only after PH takes over the Government? You may be in a big surprise, to know, their misery was there when you were the PM & MIC was your Code of Arm to look after the Indian.

Comments are closed.