TRX City Sdn. Bhd. (TRX City) telah membuat laporan polis berhubung pemindahan dana entiti itu berjumlah RM3 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Tun Razak Exchange

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji menjual lot tanah miliknya di Tun Razak Exchange (TRX) kepada Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. pada harga premium, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat.

Meskipun tidak memberi butiran lanjut jumlah sebenar yang diterima daripada syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan itu, beliau mengesahkan Tabung Haji menerima keuntungan daripada transaksi tersebut.

Tabung Haji membeli tanah seluas 0.65 hektar itu pada harga RM188 juta pada 2015.

Urusniaga berkenaan adalah sebahagian daripada langkah pemindahan aset tidak menguntungkan milik syarikat tersebut kepada kerajaan bernilai RM19.9 bilion.

“Kita dapat keuntungan kerana dijual pada harga premium,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Sebanyak 106 saham tersenarai di Bursa Malaysia telah dipindahkan ke SPV berkenaan termasuk saham-saham yang mengalami kejatuhan nilai hampir 96.5 peratus manakala 29 hartanah termasuk 18 daripadanya yang tidak memberikan pendapatan langsung serta sebuah syarikat peladangan bukan senaraian awam telah dipindahkan.

Menurut Zukri, Urusharta Jamaah akan bekerja untuk meningkatkan nilai aset berkenaan sebelum hasilnya digunakan bagi menebus sukuk dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) daripada Tabung Haji.

Hasil pertukaran tersebut akan memberikan Tabung Haji aset-aset pendapatan tetap yang boleh menstabilkan imbang kira-kira syarikat tersebut dan seterusnya membetulkan ketidakpadanan di antara aset dan liabiliti syarikat.

Dalam pada itu, Zukri berkata, beliau mahu Tabung Haji menukar fokus pelaburan kepada pendapatan tetap selepas ini berbanding ekuiti kerana mampu memberikan pulangan yang lebih stabil.

Ini jelasnya lebih sesuai dengan peranan utama Tabung Haji selaku pentadbir urusan haji di negara ini.

“Sebelum ini, kira-kira 55 peratus daripada aset Tabung Haji pada 2016 adalah dalam bentuk ekuiti dan diturunkan kepada 50 peratus pada 2017.

“Jumlah tersebut masih lagi tinggi. Kami bukan pengurus dana kerana peranan utama kami adalah mentadbir urusan haji,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Zukri, pihak pengurusan masih belum membentangkan cadangan untuk mengubah peletakan aset berkenaan kepada ahli lembaga pengarah.

“Tetapi sebagai CEO, saya secara peribadi berpendapat, kita sepatutnya meletakkan 60 peratus sehingga 70 peratus aset dalam bentuk pendapatan tetap, bergantung kepada jumlah dana yang kita ada,” katanya lagi.-MalaysiaGazette