KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti (SC) sedang menyiasat Deloitte dan KPMG berhubung pembabitannya dengan 1Malaysia Development Berhad.

Pengawal selia itu sedang menyiasat untuk menentukan sama ada firma-firma terbabit “membantu dan bersubahat dalam skandal tersebut atau semata-mata cuai, menurut laporan South China Morning Post.

“Akauntan mesti dipertanggungjawabkan,” kata seorang sumber yang rapat dengan perkara itu.

Badan pengawas telah menggesa kerajaan memperluaskan siasatan, menangani semua lapisan skandal termasuk juruaudit.

Aktivis anti-rasuah, Cynthia Gabriel, yang juga berkhidmat di sebuah jawatankuasa penyiasatan yang ditubuhkan untuk membantu siasatan 1MDB mengatakan, firma audit terlibat adalah “satu pihak kepada penipuan.

Individu yang terlibat harus dihukum dengan sewajarnya. Bukti salah laku telah dihasilkan – laporan juruaudit umum, laporan jawatankuasa akaun awam. Malah, KPMG sedang berusaha membatalkan laporan audit 2011-2012 “.

Sumber-sumber percaya bahawa KPMG mungkin sedang berunding dengan pihak berkuasa Malaysia.

Pada pertengahan 2018, KPMG mengeluarkan kenyataan yang mendakwa laporan-laporan yang telah diaudit untuk 2010, 2011 dan 2012 bukanlah penilaian “benar dan saksama” dana 1MDB dan ia tidak mempunyai akses sepenuhnya kepada dokumen yang relevan.

Laporan itu kemudian dijadikan dokumen terbuka selepas kerajaan baharu berkuasa.

SC enggan mendedahkan butiran tersebut dan hanya mengatakan siasatan terhadap “kelakuan juruaudit berhubung  audit 1MDB masih berterusan”.

Setelah menyelesaikan siasatan, ia akan menilai dapatan sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Suruhanjaya Sekuriti boleh melarang mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan salah laku dalam pengauditan.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 – walaupun bukti konspirasi jenayah akan mengakibatkan hukuman yang lebih serius.

Deloitte dan KPMG tidak memberi maklum balas berhubung perkara ini. – MalaysiaGazette