Enjoy Budapest Cafe menggunakan robot untuk menghidangkan makanan dan minuman serta berbual, melawak dan menari dengan pelanggan.

BUDAPEST- Sebuah kafe di ibu negara Hungary, Enjory Budapest Café dikendalikan oleh sepasukan robot yang bukan sahaja boleh menghidangkan makanan dan minuman, malah boleh berlawak dan menari serta berbual dengan pelanggan.

Kafe yang dibuka oleh sebuah syarikat IT, E-Szoftverfejlesztő bermatlamat untuk membiasakan orang ramai dengan revolusi teknologi dalam bidang automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Robot pelayan akan mengikuti laluan yang telah ditetapkan untuk menghantar minuman dan makanan kepada pelanggan manakala yang lain-lain seperti Pepper iaitu robot penyambut tetamu pula boleh melayan pelanggan berbual dan menari.

Dibangunkan oleh sebuah syarikat Jepun, Softbank, Pepper perlu diubah suai supaya boleh mendengar suara pelanggan walaupun dalam keadaan kafe yang bising, kata pemiliknya, Tibor Csizmadia

Berdasarkan maklum balas pelanggan di atas talian, kebanyakkannya terpesona dengan sifat Pepper dan memaafkan cara perkhidmatan “rakan sekerjanya” si robot pelayan yang agak “ketat”.

Meskipun terdapat kebimbangan terhadap peningkatan automasi dan AI bakal menutup peluang pekerjaan kepada manusia, robot-robot di Enjoy Budapest Café masih belum memberhentikan sesiapa lagi setakat ini.

“Kami sebenarnya menggaji dua kali ganda pekerja berbanding sebelum ini kerana kami mengendalikan 16 sehingga 20 robot dari pukul 9 pagi sehingga 9 malam.

“Kami memerlukan pakar-pakar IT sebagai tulang belakang,” kata Csizmadia. – MalaysiaGazette