Dr Muhamad Nadzri Noor
Dr Muhamad Nadzri Noor

KUALA LUMPUR – Seorang Pensyarah Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggariskan tiga sebab Pakatan Harapan (PH) kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands semalam.

Dr Muhamad Nadzri Noor berkata, tiga faktor itu antaranya ialah, kegagalan PH untuk penuhi pelbagai janji dalam manifesto.

Menurutnya, ada perubahan, namun banyak juga persamaan dengan amalan lama yang mana rakyat, khasnya Melayu kini adalah pengundi kritikal terhadap PH.

“Menunjukkan bahawa gerak kerja parti, kreativiti dan kesungguhan untuk menang sebagai pemacu kemenangan.

“Tidak seperti PRK yang sebelum, Barisan Nasional (BN) kali ini lebih bersungguh-sungguh dalam memberi saingan kepada PH – persis PH terhadap BN pada PRU lepas.

“BN dan pembangkang pada PRK sebelum ini lesu, tidak percaya kepada kekuatan sendiri dan sibuk mencari pakatan dengan parti baru.

“Pemilihan calon yang bersesuaian oleh BN (salah satu langkah pragmatik yang ditekankan),” katanya menjelaskan tiga perkara tersebut menerusi kenyataan hari ini.

Muhamad Nadzri berkata, BN telah menjumpai kekuatannya yang tersendiri pada PRK Cameron Higlands kali ini.

Beliau turut membuat kesimpulan bahawa PH sebenarnya bukan parti yang tidak akan kalah.

Malah, bagi parti-parti politik pembangkang mereka perlu berpakat dengan pragmatik dan strategik.

“Cari titik temu untuk memperkasakan barisan pembangkang, sebagai kerajaan menunggu di masa depan dalam menyaingi PH dalam pilihan raya akan datang.

“Peluang untuk mempertahankan sistem dua parti di Malaysia adalah masih tinggi kalau pemimpin terus berpolitik dengan hikmah, teruslah bermuafakat dalam perjuangan politik Malaysia yang pelbagai etnik dan agama ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette