Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Jika undang-undang sedia ada tidak mencukupi untuk dikenakan ke atas mereka yang menghina institusi raja termasuk Yang di-Pertuan Agong (YDPA), maka akta baharu harus dipinda atau dibentangkan.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan ketika memberi pandangan itu berkata, kerajaan perlu bertindak segera sebelum institut raja menjadi mainan golongan tidak bertanggungjawab.

“Kita sudah ada undang-undang untuk mengheret mereka yang menghina YDPA, tapi jika tidak cukup atau ada kelemahan, wajar dibentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baru atau pinda mana-mana akta yang ada.

“Menghina YDPA dan institut raja ini semakin membarah, tapi masih belum ada kesedaran. Saya harap kerajaan bertindaklah sebelum terlambat,” katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitternya hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk tindakan seorang netizen dari Kuantan telah memuatnaik status menghina YDPA yang baharu dimasyhurkan kelmarin.

Menurut Ahmad, perbuatan itu adalah sesuatu yang tidak wajar, tidak patut dan tidal boleh dilakukan oleh mana-mana rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette