KUALA LUMPUR – Laporan berita beberapa portal berita termasuk Malaysiakini yang mendakwa ada seorang pelajar Hindu dipaksa mengikuti subjek Pendidikan Islam tidak benar sama sekali.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini menafikan lapoan berita tersebut sebaliknya semakan mendapati pelajar terbabit seperti sukatan pelajar telah mengikuti Pendidikan Moral sejak memulakan persekolahan pada tahun 2017.

Kata KPM, sehingga kini, pelajar tersebut yang sebenarnya tanpa dokumen sah sebenarnya masih lagi dibenarkan mengambil subjek Moral dan bukan sebaliknya.

“Pihak sekolah sebenarnya telah membenarkan pelajar tanpa dokumen iaitu tanpa sijil kelahiran untuk mengikuti semua subjek termasuk Pendidikan Moral dan bukannya Pendidikan Islam.

“Pada tanggapan pihak sekolah, pelajar itu merupakan pelajar yang menganut agama Hindu dan atas kategori, dia mengambil subjek Pendidikan Moral.

“Untuk rekod, pelajar itu juga diberi kelulusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada 2017 mendaftar tanpa sebarang dokumen. Bagaimanapun, sehingga kini, ibu bapanya tidak pernah menyerahkan sebarang dokumen seperti sijil kelahiran kepada pihak sekolah sebagaimana termaktub dalam syarat.

“Tetapi dalam semakan terperinci menunjukan murid tersebut telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai seorang yang beragama Islam di mana ibunya adalah beragama Islam,” katanya dalam kenyataan.

Tambah KPM, pihak juga ingin menjelaskan di bawah Akta Pendidikan 1996 setiap murid yang beragama Islam perlu mengikuti Pendidikan Islam.

“Pendidikan Islam merupakan subjek teras di bawah Kurikulum Kebangsaan bagi kanak-kanak beragama Islam. Mana-mana murid yang beragama Islam berhak mendapat pendidikan tersebut.

“Ini tidak kira senadainya sekolah kerajaan mahupun swasta atau bantuan kerajaan di Malaysia. Pihak sekolah pula mematuhi arahan seperti yang disyaratkan, tidak timbul isu paksaan dalam perkara ini,” jelas KPM.

Dalam pada itu, KPM turut memberi nasihat agar ibu bapa menunggu sahaja keputusan proses rayuan yang kini berada di peringkat mahkamah.

“KPM serahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan berhubung perkara ini dan sebarang tindakan sewajarnya selepas ini. Bagi kami, kami berpegang kepada prinsip pendidikan untuk semua yang mengutamakan kepentingan dan kebajikan murid,” tegasnya. – MalaysiaGazette