Praba Ganesan
Praba Ganesan

KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kuasa, mendesak Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya meletakkan jawatan kerana telah memalukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan pemalsuan sijil pengajian.

Ketua Eksekutifnya, Praba Ganesan berkata, jika Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu enggan berbuat demikian, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengambil tindakan menyingkirkannya dari kerajaan.

Kata beliau, kemunculan maklumat berkenaan kelulusan Marzuki dari kolej palsu, Cambridge International University memburukkan lagi imej kerajaan Malaysia dan pada masa sama mengkrompromikan integriti kerajaan.

“Marzuki secara sedar menawarkan info tidak telus kepada rakyat Malaysia apabila beliau berjanji sebelum ini untuk membuktikan yang beliau memiliki ijazah daripada Universiti of Cambridge, United Kingdom.

“Kemudian beliau menukar cerita yang sebenarnya kelulusannya adalah daripada satu pertubuhan yang beroperasi melalui laman web,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai pemimpin nombor dua di Wisma Putra, Marzuki adalah antara mereka yang berperanan sebagai wakil utama negara di pentas dunia.

Jelas Praba lagi, perkembangan buruk berhubung kelulusannya akan menghantar mesej negatif berkenaan proses reformasi dan pembaharuan di negara pada masa ini.

Dalam masa depan, katanya, apabila terbongkar lebih banyak maklumat berkenaan isu itu, martabat kerajaan Malaysia akan terus tergugat.

“Dr. Mahathir perlu bertanggungjawab dalam hal ini sebab Marzuki adalah dari parti PPBM.

“Ahli-ahli parlimen “backbenchers” Pakatan Harapan juga perlu meneliti perkara ini dan membuat kenyataan berhubungnya.

“Sewaktu pembangkang, mereka bertungkus-lumus mengkritik menteri dan timbalan menteri yang memiliki kelulusan mencurigakan,” ujarnya.

Katanya, adakah sekarang mereka boleh terima perkembangan berhubung Marzuki oleh kerana beliau daripada PH?

“NGO juga perlu menyokong usul untuk meminta Marzuki meletakkan jawatan, jika tidak, nampak sangat PH mendapat layanan berbeza berbanding Barisan Nasional (BN),” katanya. – MalaysiaGazette