Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Lebih baik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan pendaftaran secara automatik kepada remaja berumur 21 tahun sebagai pengundi, daripada mencadangkan kaedah e-undi pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, SPR tidak perlu meneruskan cadangan itu kerana ramai rakyat terutama pengundi tidak bersetuju dengan kaedah berkenaan.

Katanya, kaedah e-undi dipercayai banyak masalah sebagaimana dilaksanakan dalam sistem pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lalu.

“Media arus perdana ada buat kajian orang ramai berkenaan cadangan itu, ramai tidak setuju.

“PKR pun sudah guna kaedah itu. Bukankah banyak masalah? Diberitakan 9,000 undi hilang dalam kaedah e-undi,” katanya di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun dalam wawancara khas bersama BH dilaporkan berkata, kajian SPR mendapati kaedah itu yang digunakan di Russia, Korea Selatan, India dan Congo dapat menjimatkan banyak masa serta meminimumkan bilangan kakitangan diperlukan.

Beliau berkata, SPR sudah melakukan pencarian fakta dan berbincang dengan beberapa pihak, termasuk pegawai dari negara yang sudah melaksanakan kaedah e-undi dan pengundian internet.

Menurut Ahmad Maslan, ada lebih 3.6 juta remaja cukup umur belum mendaftar sebagai pengundi dan usaha untuk menjadikan mereka sebagai pengundi harus dilakukan oleh SPR. – MalaysiaGazette