Merujuk catatan dalam buku ini netizen termasuk Mohd Khalid mempersoalkan universiti tempat Mahfuz menuntut.
Merujuk catatan dalam buku ini netizen termasuk Mohd Khalid mempersoalkan universiti tempat Mahfuz menuntut.

KUALA LUMPUR – Lagi pemimpin Pakatan Harapan (PH) terpalit dengan isu sijil akademik palsu dan ketidakwujudan universiti tempat mereka menuntut.

Bermula dengan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya; Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, kini giliran Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar pula dipertikaikan.

Perkara itu didedahkan aktivis politik, Mohd Khalid Ismath yang tiba-tiba mempersoalkan universiti luar negara tempat Ahli Parlimen Pokok Sena itu menuntut.

Dengan menyertakan biodata ringkas Mahfuz, dipercayai dari sebuah buku program rasmi kerajaan Kedah, Mohd Khalid berkata, beliau tidak sangka timbalan menteri itu juga lulusan luar negara.

“Tak sangka rupanya YB kita Mahfuz juga lulusan luar negara. Tapi…bilanya dia belajar di luar negara?

“Orang kelapan dalam senarai menteri yang diragui,” tulis beliau melalui ciapan Twitternya hari ini.

Dalam helaian buku yang disiarkan Mohd Khalid itu menyatakan, Mahfuz meneruskan pengajian dalam bidang Sains dan Politik di Belford University pada tahun 1992.

Pengajian di universiti itu menimbulkan persoalan terutama tempoh keberadaannya di dalam dan luar negara.

Sementara itu, Mahfuz dalam jawapan ringkasnya kepada media hari ini, memberitahu, beliau tidak pernah ada apa-apa ijazah dari mana-mana universiti dalam atau luar negara.

“Salam kepada media, saya dimaklumkan ada diviralkan yang kata saya dakwa lulusan sebuah universiti luar negara. Saya tidak pernah ada apa-apa ijazah dari mana universiti dalam atau luar negara,” katanya.

Sebelum ini, turut terpalit dengan pemalsuan sijil akademik ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. – MalaysiaGazette