KUALA LUMPUR – Kerjasama politik di antara UMNO dan Pas tidak akan bertahan lama apatah lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Tambah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kedua-dua parti itu yang kini terlihat seperti bersaudara kelak sudah tentu akan bertelagah kerana perebutan kerusi.
“Saya senyum je tengok org Umno & PAS melaungkan “perpaduan ummah” demi matlamat politik.
“Sekarang bersaudaralah. Tunggu nak agih kerusi menjelang PRU15.
“PAS umum nak kerusi tu, Umno umum nak kerusi ni. Terus bergaduh tak sudah-sudah,” katanya dalam ciapan Twitter semalam.
Ciapannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang mengecamnya kerana memperkatakan tentang parti lain namun sebaliknya Pakatan Harapan sendiri berdepan dengan isu serius.
“Saya rasa anda patut risau tentang parti politik kamu. Tikam belakang dan sebagainya,” kata Shiddy Kassim.
Ada juga yang memberi paku buah keras kepada Rafizi dengan mempersoalkan pendapatnya tentang kemasukan beberapa anggota Parlimen daripada UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.
Tidak cukup dengan itu ada yang menyindir hubungannya dengan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang diketahui umum tidak baik dari dulu sehingga kini.
“Belum tentu bergaduh. Yang pasti sekarang, PKR, DAP goyah dengan PPBM. Hahahah,” menurut ABPH.
“Apa pendapat saudara Rafizi tentang parti Bersatu terima 6 ahli parlimen UMNO masuk Bersatu… Cer citer sikit,” kata Norhisyam Zamani.
“Yang belum takpe, yang dah sudah pun kelahi tak habis-habis apa cerita? Azmin vs Rafizi?,” kata seorang lagi pengguna Twitter. -MalaysiaGazette