Azmin Ali
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bercakap sesuatu dengan Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Azmin Ali (kiri) pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih di Taman Pelangi, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 14 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin kemasukan tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membantu menerangkan kepada ahli UMNO supaya menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Azmin berkata, walaupun pelbagai reaksi diterima daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan rakyat, beliau menerima penjelasan yang diberikan Pengerusi PH itu berhubung kemasukan tujuh wakil rakyat UMNO itu.

Katanya, Dr Mahathir telah membuat penjelasan panjang lebar dan ia diterima demi memantapkan PH.

“Kemasukan Ahli Parlimen tersebut mungkin boleh menyumbang sesuatu kepada PH terutama akar umbi UMNO agar mereka memahami keperluan meninggalkan UMNO.

“Penjelasan dibuat oleh Tun dan saya kira justifikasi itu saya boleh terima dan ini satu faktor yang menyumbang (kepada PH). Yang diterima sebagai ahli ialah wakil rakyat mereka bukan ahli-ahli UMNO.

“Ini kerana bekas Ahli Parlimen berkenaan akan turun ke bawah dan bertemu ahli UMNO supaya memahami keperluan meninggalkan UMNO.

“UMNO kini sebuha parti yang sudah rosak,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PH untuk PRK Semenyih, Muhammad Aiman Naizali, pada 2 Mac ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP, Prof R. Ramasamy yang bimbang terhadap kemasukan tujuh bekas ahli UMNO ke dalam parti gabungan PH itu yang mampu menggugat pembinaan gabungan PH.

Timbalan Ketua Menteri Kedua Pulau Pinang itu juga mendakwa bukan semua pemimpin dalam gabungan PH gembira dengan perkembangan tidak sihat yang diambil PPBM walaupun ia bermotifkan semak dan imbang dengan sekutu lain dalam PH.

Tambah Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu lagi, kesemua tujuh ahli Parlimen itu akan memainkan peranan memberi penjelasan kepada ahli UMNO supaya mereka menyokong kepimpinan Dr Mahathir.

“Kita ketika ini tidak ada akses kepada ahli UMNO dan sepanjang kami menyertai Pilihan Raya, kami tidak boleh mengakses kawasan UMNO terutama di luar bandar kecuali Ahli Parlimen UMNO sahaja boleh berbuat demikian.

“Lagipun kemasukan mereka bukan disebabkan tubuh mereka sahaja, tapi mereka ada peranan untuk menjelaskan orang UMNO iaitu marilah bersama-sama mereformasikan sistem dan sokong kepimpinan Tun Mahathir,” tegasnya lagi.

Kelmarin tujuh Ahli Parlimen UMNO diterima sebagai ahli rasmi PPBM yang diumumkan sendiri oleh Dr Mahathir selaku pengerusi parti itu di ibu negara.

Tujuh ahli Parlimen itu ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Shabudi Yahaya (tasik Gelugor), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh serta Datuk Mas Ermiyati Samsudin (Masjid Tanah). – MalaysiaGazette