Azmin Ali
Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Bilik Gerakan Pemuda Pemuda Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih di Taman Semenyih Parklands, Selangor. foto IQBAL BASRI, 15 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali membidas tindakan Pas khususnya Selangor yang bekerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, beliau pelik dengan tindakan Pas yang kini bersengkokol sebagai pembangkang.

“Saya tidak faham dengan kawan-kawan saya dalam Pas, yang nak bersengkokol dengan UMNO buat apa. Aku tolong kamu di Selangor dulu ingat tak?

“(Kenapa) pertahankan mereka? Kita dalam perjuangan mesti ada idealisme, mesti ada prinsip. Jangan atas nama agama semua boleh. Tipu pun boleh. Kalau tidak betul, masih tidak betul. Kalau betul kita pertahankan,” katanya dalam ucapan perasmian jentera dan bilik gerakan utama pemuda Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Hadir sama Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pas hari ini menyokong Barisan Nasional (BN) dalam meletakan calon bagi menentang calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali di Semenyih.

Pas memberikan laluan kepada BN dengan meletakan Zakaria Hanafi sebagai calon.

Azmin pernah menjawat jawatan Menteri Besar Selangor ketika kerajaan Pakatan Rakyat (PR) memenangi Selangor dengan kerjasama antara PKR, Pas dan DAP.

Pas pada 2014 menamakan Azmin sebagai calon Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Nama Azmin diserahkan sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika itu.

Dalam pada itu, Mukhriz turut menyifatkan kerjasama Pas dan UMNO umpama khalwat yang telah lama diidamkan.

Menurut beliau, pengundi Semenyih perlu tolak kerjasama itu kerana langkah itu dilihat canggung kerana sebelum ini kedua-dua pihak pernah bercakaran sesama sendiri.

“Kalau tengok trend mereka bersekedudukan, ada oanrg kata khalwat.

“Dua pihak tidak boleh pakai dan pastikan PRK Semenyih calon kita menang dan wakili PH,” katanya lagi.

Proses penamaan calon bagi PRK Semenyih bakal mengambil tempat pagi esok dengan dua parti sudah mengesahkan penyertaan mereka termasuk satu calon daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bagaimanapun penglibatan calon bebas masih belum dapat dipastikan dimana hanya seorang sahaja yang beriya-iya mahu bertanding iaitu Kuan Chee Heng atau lebih popular dengan panggilan ‘Pakcik Kentang’ yang membeli empat set borang. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.