Kawasan perindustrian Malaysia, khususnya Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), boleh menjangkakan lebih banyak pelaburan dari China selepas lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Beijing pada April ini.

BANGI – Kawasan perindustrian Malaysia, khususnya Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), boleh menjangkakan lebih banyak pelaburan dari China selepas lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Beijing pada April ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata buat masa ini, satu-satunya pelaburan berskala besar dari China di MCKIP dijalankan Alliance Steel (M) Sdn Bhd, manakala pelaburan lain masih dalam proses.

“Apabila pelaburan diluluskan, kita akan mengumumkannya dan menunjukkan epada rakan sejawatan China bahawa Malaysia kekal komited untuk menarik pelaburan China yang berkualiti,” katanya kepada pemberita di luar acara rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Mah Sing Group Bhd di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan maklumat terperinci berkaitan pelaburan berprospektif tersebut serta firma China yang memohon untuk mewujudkan operasi mereka di MCKIP.

“Perkembangan terkini mengenai pelaburan China di MCKIP akan dimaklumkan kepada perdana menteri memandangkan ia dianggap bidang berpotensi untuk melonjakkan pelaburan China,” katanya.

Ong berkata perbincangan mengenai beberapa projek dijangka dijalankan semasa lawatan Dr Mahathir ke China.

Sementara itu, beliau yakin namun berhati-hati bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2019 akan lebih tinggi daripada 4.5-4.6 peratus seperti yang diunjurkan banyak penganalisis.

Pertumbuhan itu akan disokong oleh harga minyak mentah yang stabil, yang dijangka berada antara US$60 dan US$70 setong tahun ini, katanya.

“Ini akan memberi manfaat kepada sektor minyak dan gas tempatan selain membolehkan ia terus memberi sumbangan yang baik kepada pertumbuhan KDNK tahun ini,” katanya.

Mengulas mengenai KDNK setahun penuh 2018 pada 4.7 peratus, Ong menyifatkan catatan itu sebagai “okey”, memandangkan ia mengalami gangguan bekalan gas di Sabah sejak suku kedua tahun lepas.

“Bagaimanapun, bekalan gas telah kembali seperti sedia kala sejak September 2018, ditambah dengan harga minyak mentah global yang stabil, saya berharap KDNK 2019 akan melebihi pertumbuhan 4.5-4.6 peratus yang diunjurkan penganalisis,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Mah Sing berkata pihaknya telah membina Surau Tarbiah seluas 10,225 kaki persegi, yang terletak berhampiran pembangunan baharu bercampur runcit dan kediaman, M Vertica di Jalan Cheras.

“Mah Sing komited untuk membina surau tersebut bagi menggantikan Madrasah Tarbiah, yang akan dirobohkan pada 2019.

“Usaha ini akan memastikan pembangunan M Vertica tidak akan menjejaskan aktiviti masyarakat Islam untuk berhimpun dan melaksanakan ibadah,” menurutnya.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik, Lyanna Tew berkata Surau Tarbiah akan menjadi tuan rumah pelancaran majlis Muhibbah Wilayah pada 28 Feb ini.

— BERNAMA

Artikel berkaitan: 

Rakyat China tidak pernah marah letak nama Lebuh Kuantan

Pembangkang ditempelak tuduh kerajaan jual kedaulatan negara kepada China