KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman perlu tampil menjelaskan kesahihan satu akaun Facebook yang menggunakan nama beliau bagi mengelak dikecam warganet kerana menggunakan perkataan mencarut.
Akaun Facebook yang menggunakan nama penuh Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tular di laman sosial setelah ‘Syed Saddiq’ dikecam hebat oleh netizen kerana memberi jawapan dalam bahasa kasar dan tidak mencerminkan beliau seorang menteri.
Seorang netizen, Don Juan deRyezal menerusi ciapan Twitternya mempersoalkan, betul atau tidak akaun Facebook menteri itu.
“Betulkah ini akaun Facebook sebenar YB? Ya Allah, ‘manisnya’ bahasa anak muda dan bahasa menteri,” tulis beliau.
Dalam posting itu, seorang netizen bernama Khairul Jagger memberitahu, bahawa kecacatan dalam projek adalah perkara biasa dan beliau sebagai jurutera biasa pun selalu berdepan dengan masalah itu walaupun dari kontraktor bukan Melayu.
Namun, Syed Saddiq menjawab pandangan Khairul Jagger dengan panggilan “butoh”.
Dalam ‘perang’ itu juga, Syed Saddiq turut memberitahu kepada seorang netizen bernama Anuar Jabar, bahawa kalau dia tidak kencing pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, masakan beliau boleh menjadi menteri.
“Anuar Jabar, kalau aku tak kencing aku takkan jadi YB la bodoh,” tulis penama akaun Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bagaimanapun, carian Malaysia Gazette ke akaun itu tidak menemukan sebarang status seperti yang ditular.
Namun, akaun Facebook rasmi Syed Saddiq hampir menyamai dengan ‘Facebook’ yang tular dengan gambar menteri itu juga serupa.
Tetapi jelas menimbulkan tanda tanya orang ramai terutama warganet yang mempersoalkan sama ada ia secara kebetulan atau akaun Facebook menteri termuda itu telah digodam.
“Jika digodam, wajar Syed Saddiq membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyekat daripada disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” kata seorang lagi netizen bernama Jauhari.
Sehingga ini, belum ada sebarang jawapan atau makluman daripada pihak yang menjaga atau mentadbir akaun Facebook rasmi menteri itu berhubung status berkenaan. – MalaysiaGazette