Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, salah satu perkara yang diberi perhatian selepas menerima jawatan menteri ialah berkenaan penghapusan tol seperti yang dijanjikan.
Arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) amat terkilan dengan mekanisme kerajaan Pakatan Harapan (PH)
dalam melaksanakan tol percuma kepada rakyat Malaysia.

Pendekatan yang dicadangkan oleh kerajaan untuk melaksanakan tol percuma mulai pukul 11 malam hingga 5 pagi hanya menguntungkan sebilangan kecil rakyat Malaysia terutama syarikat-syarikat pengusaha yang menjalankan operasi logistik pada waktu malam.

Ini kerana, pada waktu itu lori-lori tidak akan dikenakan tol.

Ketua Dewan Ikatan, Shahir Adnan berkata, berdasarkan logik  jelas menunjukkan dasar mekanisma itu hanya memberikan impak minimum kepada rakyat Malaysia.

“Persoalannya, adakah harga barangan akan turun kerana syarikat-syarikat dapat menjimatkan kos logistik mereka atau harga barangan masih di takuk sama dan mereka mengaut lebih keuntungan dengan penjimatan tol ini?,” soalnya yang rasa janggal dengan waktu pengumuman dasar tol sewaktu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih berlangsung.

Sepatutnya, kerajaan melaksanakan diskaun lebih besar iaitu 50 peratus pada waktu puncak, 6 pagi hingga 9 pagi dan 4 petang hingga 7 malam.

Inisiatif berkenaan memberikan impak lebih besar kepada keseluruhan rakyat Malaysia, di samping menggalakkan rakyat Malaysia mempunyai keseimbangan antara waktu kerja dan waktu bersama keluarga di rumah.

Namun, soalnya lagi, adakah ‘gula-gula’ ini masih manis di mata rakyat Semenyih, selepas 10 janji 100 hari tidak dapat dilaksanakan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/24/formula-baharu-tol-beri-kesan-baik-kepada-rakyat-saifuddin/