KUALA LUMPUR – Pakaian imam dan bilal di semua masjid serta surau Jumaat di Wilayah Persekutuan termasuk Labuan dan Putrajaya akan diseragamkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, ini bagi menaikkan imej mereka supaya lebih dihormati masyarakat kerana selama ini dilihat seperti tidak terurus.
Justeru, Mujahid akan mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memikirkan penjenamaan imej pegawai dan kakitangan masjid itu dengan menyeragamkan pakaian jubah imam, bilal dan petugas masjid dengan standard Imam Wilayah Persekutuan.
“Penyeragaman ini tidak lain sebagai usaha kementerian saya untuk melihat imej pengurusan masjid ini dapat dinaikkan.
“Bukan lagi imam atau bilal memakai jubah sama yang berusia lebih 10 tahun, hingga warna jubah itu sudah berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap melancarkan Standard Penarafan Masjid di Wilayah Persekutuan dan Penyampaian Watikah Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau Jumaat Sesi 2018-2020 di Dewan Serbaguna Majis Wilayah hari ini.
Beliau turut menggesa pengurusan masjid dan surau Jumaat supaya meneruskan program khidmat kepada masyarakat melibatkan pelbagai golongan yang memerlukan bantuan dan pertolongan sama ada berbentuk material atau spiritual iaitu kaunseling.
Program seumpama itu, kata Mujahid boleh menjadi penanda aras dalam selaras dengan masjid berkonsepkan Rahmah iaitu ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat.
“Konsep Masjid Rahmah ini bertujuan menjadikan institusi masjid bergerak selari dengan arus pemodenan supaya tidak ketinggalan dari kehendak semasa, namun tidak mengubah kerangka asalnya sebagai tempat beribadat,” katanya.
Berhubung penceramah anti vaksin yang menggunakan platform masjid, Mujahid berkata, tindakan tegas akan diambil di negeri yang menerima aduan berkenaan kes itu.
Beliau berkata, bagi kementeriannya, penggunaan vaksin adalah jelas, sebagaimana Majlis Fatwa Kebangsaan mengatakan harus, maka ia tidak ada masalah untuk digunakan.
“Saya tahu ada pihak tertentu terutama penceramah menggunakan masjid untuk memberitahu kepada orang ramai mengenai hukum haram penggunaan vaksin.
“Sebagai contoh, ada kes itu di Pulau Pinang, kita minta mereka di negeri itu buat aduan, laporan polis dan biar kerajaan negeri yang akan ambil tindakan. Itu sudah jelas,” katanya – MalaysiaGazette