Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan penurunan semalam untuk dibuka rendah berbanding dolar US pagi ini, berikutan ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat disebabkan ketidaktentuan ekonomi global yang baharu, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.0700/0740 berbanding dolar US daripada 4.0650/0680 semasa ditutup pada Khamis.

Peniaga berkata pelabur bimbang mengenai data ekonomi AS yang kukuh yang dikeluarkan baru-baru ini yang boleh meningkatkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS bersedia untuk mempertimbangkan kenaikan kadar pada tahun ini.

Ringgit, bagaimanapun diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.6489/6528 daripada 3.6688/6718 pada Khamis dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0101/0142 daripada 3.0140/0167.

Unit tempatan menokok berbanding euro kepada 4.6280/6342 daripada 4.6304/6343 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.3960/4029 daripada 5.4065/4108 semalam.

— BERNAMA