KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memberi tiga sebab utama kenapa pengundi dalam DUN Semenyih perlu memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK), esok.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, sebab pertama, jika BN menang akan menambah satu lagi kerusi pembangkang untuk memberi suara yang lebih kuat kepada rakyat Selangor.

Beliau berkata, jumlah ADUN PH yang menguasai 50 kerusi DUN Selangor sebenarnya tidak baik untuk rakyat.

“Kerajaan begini akan mengambil sambil lewa dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Sebab itu, selama ini di Selangor, setelah dua penggal PH memerintah, masih banyak perkara asas yang tidak diselesaikan oleh mereka.

“Malah, ianya menjadi lebih teruk,” katanya dalam perutusan khas untuk rakyat Semenyih yang dimuat naik menerusi akaun Twitternya hari ini.

Najib berkata, kerajaan yang terlalu kuat juga mudah menjadi korup dan rasuah, walaupun pemimpin PH bermati-matian menuduh pemimpin BN yang korup dan rasuah.

Katanya, selepas menjadi kerajaan Persekutuan, menerusi agensi penguatkuasaan, kerajaan PH telah melontarkan beratus pertuduhan rasuah kepada pemimpin BN termasuk beliau untuk menunjukkan parti itu korup.

“Namun, sebaliknya pemimpin PH yang dikaitkan dengan rasuah telah dilepaskan begitu sahaja dan mereka ini tiba-tiba menjadi suci selepas menang PRU atau melompat parti.

“Di Selangor misalnya, banyak kes rasuah melibatkan ahli politik PH dilaporkan sejak mereka memerintah dari 2008, tetapi pemimpin BN yang difitnah, dituduh, direman dan ditahan dengan semberono.

“Jika anda adalah penyokong sistem demokrasi yang adil, BN perlu diberi peluang kali ini di Semenyih,” katanya.

Sebab kedua, menurut Najib yang merupakan bekas Presiden UMNO, pemimpin PH sebelum ini banyak menabur janji untuk menyelesaikan masalah rakyat, termasuk masalah setempat, tetapi tidak diselesaikan sehingga kini.

Beliau turut menyenaraikan bentuk janji kerajaan PH sebepum ini seperti menurunkan harga minyak, menghapuskan hutang PTPTN, menurunkan harga barang dengan SST, menghapuskan tol, menghapuskan lantikan politik dalam syarikat dan agensi berkenaan kerajaan.

Katanya, PH juga berjanji untuk menyelesaikan semua masalah sehari selepas menang PRU14 pada 9 Mei lalu seperti membawa lantikan penting kerajaan seperti Pengerusi SPR, Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara ke Parlimen untuk pertimbangan.

“Namun, setelah menang, sebaliknya yang berlaku. Harga minyak naik, hutang PTPTN dipaksa bayar, harga barang semakin teruk naik dengan SST, caj kesesakan tol akan diperkenalkan, saudara mara dilantik dalam syarikat dan agensi kerajaan.

“Begitu juga lantikan Pengerusi SPR, SPRM dan Peguam Negara dilakukan tanpa semak imbang Parlimen seperti dijanji. Ini terbukti, mereka telah mungkir janji dan menipu rakyat,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, rakyat mesti memberi isyarat kepada PH bahawa mereka tidak boleh terus mungkir janji, menipu begitu sahaja, sebaliknya perlu bertanggungjawab di atas janji itu.

Sebab ketiga, kata Najib, calon BN, Zakaria Hanafi lebih baik berbanding calon PH dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Muhammad Aiman Zainali.

“Zakaria seorang berkelulusan tinggi, berpengalaman, merendah diri, namun lantang menyuarakan pendapat. Beliau akan membawa suara pembangkang untuk menyemak-imbang kerajaan di peringkat dasar kerajaan Selangor.

“Dalam kempen ini juga dia membawa kempen yang positif walaupun dicemuh dan dicaci oleh pihak PH dengan poster negatif dan serangan peribadi, beliau tetap bersabar dan istiqamah,” katanya.

Beliau menjelaskan, apa yang dibawa oleh Zakaria adalah politik baharu BN untuk masa depan rakyat.

“Sekiranya anda semua keluar mengundi BN kali ini dan dengan itu calon BN menang, kita akan bergerak setapak lagi ke hadapan untuk menyemak-imbang kerajaan supaya mereka mengambil endah masalah rakyat dan tidak terlepas apabila mungkir janji,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast