S. Gobi (kanan) ketika mengunjungi Dr. Mahathir di Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini.
S. Gobi (kanan) ketika mengunjungi Dr. Mahathir di Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Minoriti (MBC) menyarankan Malaysia menjual air sisa buangan pembetungan Indah Water kepada Singapura jika negara itu bertegas tidak mahu menerima cadangan kerajaan untuk menaikkan harga kadar lama 3 sen segelen.

Pengerusinya, S. Gobi Krishnan berkata, Singapura mungkin tidak ada masalah untuk menerima air sisa buangan itu kerana kerajaannya mempunyai kepakaran untuk memproses kepada air minuman seperti NEWater.

“Kalau mereka berkeras masih mahu menggunakan kadar lama, kami mengesyorkan kerajaan Malaysia menyalurkan bukan air mentah yang mahal, tetapi air sisa buangan pembetungan Indah Water yang mungkin sesuai dengan kadar 3 sen segelen,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Khamis lalu, ketika berucap pada sesi pemukiman kerajaan Negeri Johor bersama kepimpinan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan meminta kerajaan Johor memperjuangkan hak negeri itu dalam isu Perjanjian Air 1962 kepada Singapura.

Perdana Menteri itu menegaskan, isu penjualan air kepada negara jiran itu sejak 1962 juga perlu dikaji semula.

Jelasnya, caj tiga sen untuk 1,000 gelen air mentah dilihat tidak lagi munasabah kini.

Menurut S. Gobi, MBC menyokong penuh usaha tegas kerajaan dalam menangani persoalan isu penyaluran air ke negara jiran Singapura.

Kata beliau, pihaknya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mewakili suara rakyat dalam isu itu.

“Kita sedia maklum, kerajaan terdahulu di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak menutup sebelah mata dalam isu ini kerana ingin mendapatkan kerjasama Singapura untuk mengubah wang 1MDB secara haram.

“MBC ingin mengingatkan semua pihak bahawa kita tidak boleh lagi berterusan mengorbankan kepentingan rakyat negara ini demi untuk memberi manfaat kepada negara lain.

“Bak kata pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” katanya.

Jelas S. Gobi, berdasarkan rekod, Perjanjian Air 1962 dimeterai bertujuan untuk Malaysia menjual maksimum 250 juta gelen air mentah sehari kepada Singapura pada kadar 3 sen segelen, manakala Malaysia melalui Johor akan membeli balik pada kadar 50 sen segelen.

Perjanjian itu, katanya, bukan sahaja tidak adil pada masa kini, tetapi juga jelas tidak adil pada tahun 1962.

“Kami tidak mahu membuat spekulasi sebab musabab perjanjian berat sebelah ini ditandatangani waktu itu, namun kami sudah pasti semua sedia maklum sikap Singapura yang sentiasa mendapat faedah dan manfaat berlebihan dalam apa jua dengan berlakon sebagai mangsa untuk mendapatkan simpati.

“Kita yakin kemajuan Singapura pada masa ini walaupun tiada sumber air tawar mentah dan sebarang sumber asli, hanyalah disebabkan oleh Malaysia,” katanya.

Dengan itu, jelas beliau, untuk menjawab kenyataan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan di Parlimen baru-baru ini, MBC ingin mengingatkan beliau bahawa Singapura bukan sahaja harus berterima kasih kepada Malaysia di atas kemakmurannya, malah harus terhutang budi di atas kewujudannya juga.

Kata beliau, perkara mengejutkan pihaknya, meskipun Singapura bertegas membayar kadar dipersetujui pada tahun 1962 untuk air mentah, namun mereka menjual air terawat kepada rakyatnya sendiri dengan kadar tahun 2019.

“Maksudnya mereka menjual air terawat dengan kadar yang tinggi, kononnya sebab kos tinggi untuk merawat air walaupun mereka membeli air mentah dengan harga terlalu murah dari Malaysia.

“Untuk makluman, kadar tarif air di Singapura baru-baru ini dinaikkan sebanyak 30 peratus dan kami berharap rakyat negara itu dapat menilainya secara objektif tindakan kerajaan mereka,” tegasnya.

Beliau menyeru kerajaan Malaysia supaya kekal bertegas dengan Singapura dalam hal itu sebagai mewakili suara majoriti rakyat yang mahukan agar perjanjian berat sebelah itu dikaji semula.

Pada masa sama, ujarnya, MBC juga berharap kerajaan Malaysia menyiasat punca sebenar air terawat yang dijual Singapura kepada Johor, sama ada dari air mentah Johor seperti dalam perjanjian atau dari sumber yang diragui iaitu air buangan pembetungan NEWater.

“Kalau benar sumber itu tidak seperti dalam perjanjian, Malaysia mempunyai sebab kukuh untuk membatalkan perjanjian tersebut.

“Kami juga ingin mengingatkan kerajaan Singapura bahawa kadar rendah tidak masuk akal seperti yang dimeterai pada tahun 1962 tidak boleh lagi digunakan pada tahun 2019,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast