Dr. Maszlee merakamkan dalam bentuk video penerangannya mengenai perlu atau tidak anak-anak diberi suntikan vaksin
Dr. Maszlee merakamkan dalam bentuk video penerangannya mengenai perlu atau tidak anak-anak diberi suntikan vaksin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan berpendapat wajib anak-anak diberi suntikan vaksin demi untuk kesejahteraan dan kesihatan mereka.

Bagaimanapun, menterinya, Dr. Maszlee Malik menegaskan, sama ada perlu atau tidak anak-anak itu diberi suntikan vaksin bergantung sepenuhnya kepada keizinan ibu bapa.

“Kalau ibu bapa memilih untuk anak mereka divaksinkan, ini kita galakan tetapi jika mereka tidak benarkan, kita tidak boleh paksa.

“Saya pun antara orang yang berpendapat bahawa wajib anak-anak ini diberikan vaksin agar tidak dijangkiti penyakit berjangkit,” katanya menerusi sesi penerangan mengenai vaksin yang divideokan dan dimuatnaik dalam akaun Twitter beliau semalam.

Katanya, sekiranya ibu bapa enggan berbuat demikian, kementeriannya tidak boleh menyalahkan anak itu kerana mereka tidak boleh memilih sama ada hendak divaksinkan atau tidak untuk dirinya.

Beliau menjelaskan, ini kerana yang membuat pilihan adalah ibu bapa.

“Di sini, Kementerian Kesihatan bertanggungjawab untuk memberikan vaksin dan juga memberikan penerangan kepada ibu bapa agar anak-anak diberikan suntikan vaksin.

“Kementerian Pendidikan tidak boleh menghalang anak-anak daripada pergi ke sekolah jika mereka tidak divaksinkan.

“Mereka berhak untuk pergi ke sekolah sama ada ibu bapa memilih atau tidak. Sekolah tidak boleh menghukum mereka di atas pilihan ibu bapa,” tegasnya.

Dr. Maszlee berkata, tugas Kementerian Pendidikan ialah untuk memastikan anak-anak tidak tercicir dari pelajaran, dan tidak terdedah kepada gejala sosial

“Kalau diceritakan wajib atau tidak vaksin, ini adalah tanggungjawab ibu bapa dan Kementerian Kesihatan untuk memberikan suntikan kepada anak-anak.

“Ada pun untuk masuk ke sekolah, kami tidak boleh membezakan anak itu berdasarkan bangsa, agama dan berasal dari mana, apatah lagi sama ada mereka divaksin atau pun tidak.

“Bagaimanapun, pesanan saya kepada ibu bapa, berikan vaksin kepada anak-anak untuk kesejahteraan dan kesihatan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/06/tiada-larangan-pelajar-tak-divaksin-ke-sekolah/

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast