KUALA LUMPUR – Langkah pengambilan vaksin untuk anak-anak adalah atas pilihan ibu bapa sendiri, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta ibu bapa mendapatkan nasihat dari pakar kesihatan yang sah dan melindungi anak mereka dengan suntikan vaksin.
Katanya, kementerian beliau akan terus memberikan input kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha menjadikan suntkan vaksin sebagai mandatori, khususnya untuk mengawal penyakit tertentu.
“Hakikatnya pada waktu ini undang-undang yang memandatorikan vaksin untuk kanak-kanak belum digubal dan dilaksanakan.
“Dan buat masa ini, langkah pengambilan vaksin untuk anak-anak adalah di atas pilihan ibu bapa sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada media semalam.
Beliau mengulas laporan media yang salah faham berhubung kenyataannya sebelum ini, kononnya suntikan vaksin untuk kanak-kanak tidak diwajibkan.
Sedangkan, Dr. Wan Azizah berkata, suntikan vaksin untuk kanak-kanak buat masa ini masih belum diwajibkan.
Menurutnya, hasrat beliau adalah selari dengan apa yang dikatakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Kata beliau, sementara menunggu keputusan dan undang-undang dirangka, kementeriannya dalam perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berkaitan cara menggalakkan ibu bapa mengambil suntikan vaksin untuk anak mereka.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa menepis dakwaan tidak sahih bahawa vaksin akan membahayakan anak mereka. – MalaysiaGazette