Nazlee Aziz
Nazlee Aziz

KUALA LUMPUR – NGO 1Malaysia memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usahanya memerangi rasuah.

Bagaimanapun, Presidennya, Nazlee Aziz berkata, Perdana Menteri perlu memulakan perang membanteras gejala rasuah di dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah terlebih di seluruh negara.

“Kalau Tun Dr. Mahathir betul-betul serius mahu perangi rasuah, bermulalah di PBT dan Pejabat Tanah di setiap negeri. Mulalah dari sekarang sebelum ia menjadi barah.

“Ini punca kenapa 22 keluarga yang menyewa di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, Pulau Pinang baru-baru ini dihalau,” katanya pada sidang media bersama Sekretariat Geram Kelab N87 Malaysia (Geram) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nazlee berkata, kerajaan Pulau Pinang dan kerajaan Persekutuan bawah Pakatan Harapan (PH) supaya jangan main-main dengan suara rakyat.

Katanya, rakyat boleh menumbangkan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang sekiranya kerajaan negeri dan pusat sengaja menimbulkan kemarahan rakyat.

Beliau menasihatkan kerajaan DAP Pulau Pinang agar lebih prihatin dengan nasib rakyat terutama berpendapatan kecil seperti yang mereka halau dari PPR Taman Manggis baru-baru ini.

“Saya berharap apa yang berlaku di Pulau Pinang itu akan memberi pengajaran kepada PBT negeri lain agar tidak rakus bertindak sewenang-wenangnya ke atas rakyat marhaen.

“Tanamlah perasaan sayangkan rakyat. Jangan kerana kepentingan diri, rakyat menjadi mangsa kerakusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast