KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menuntut wakil rakyat DAP, Chew Chong Sin memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.
Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol mengaitkan pembunuhan seorang pengganas ke atas 50 umat Islam yang sedang menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Noor, Chirstchurch, New Zealand dua hari lalu sebagai celaka dan bedebah.
Ketua Penerangan Perkasa Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, DAP tidak habis-habis cuba memburukkan Islam dengan kenyataan bersifat celaka dan tidak boleh diterima oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Kita mahu wakil rakyat DAP ini meminta maaf secara terbuka atas tindakannya berbaur penghinaan terhadap agama Islam dan juga bersifat perkauman.
“DAP yang kini sudah duduk di blok kerajaan masih lagi tidak henti-henti dengan sifat chauvinis dan ‘ultra kiasu’nya membuat kenyataan bersifat rasis dan menghasut ke arah kebencian kaum dan agama,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Nasrul Ali Hasan, DAP yang memainkan peranan memecah belahkan penyatuan ummah sejak 2008 lagi dengan perbuatan khianat pemimpinnya menyebar fitnah.
Kini, tegasnya, sekali lagi pemimpin DAP mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman yang sekali gus menunjukkan belang sebenar mereka yang rasis dan Islamophobia berdasarkan insiden di Christchurh, New Zealand itu.
”Apakah Chong Sin tidak sedar dia membesar di tanah ini kerana keamanan, keharmonian dan toleransi antara satu sama lain hasil kerajaan terdahulu?
“Di mana kewarasan akalnya hingga boleh melemparkan kata-kata biadab seperti itu?” soal beliau. – MalaysiaGazette