MELBOURNE – Insiden seorang remaja membaling telur ke arah seorang senator yang ‘celupar’ di negara kerana kenyataan perkaumannya kini sedang disiasat.

Reuters melaporkan, pihak berkuasa Victoria dalam satu kenyataan berkata, insiden membabitkan seorang remaja berusia 17 tahun bagaimanapun mendapat sokongan dan simpati orang ramai.

Susulan itu, kempen ‘GoFundMe’ telah dilancarkan bagi mengutip derma  membantu remaja terbabit membayar kos guaman dan membeli lebih banyak telur berjaya mengutip A$19,000 (RM55,242) dalam beberapa jam sahaja. 

Insiden itu juga menyebabkan #EggBoy menjadi trending dalam dan luar negara khasnya di laman sosial Twitter.

Semalam, senator haluan kanan itu, Fraser Anning menggemparkan bukan sahaja negara ini sebaliknya seluruh dunia apabila dirinya dibaling telur dan menampar remaja terbabit yang membantah ulasan menghinanya mengenai serangan masjid di Christchurch.

Fraser mengundang kecaman dunia kerana menyalahkan serangan yang mengorbankan 49 jemaah Islam itu ke atas pendatang.

Dalam kenyataan semalam, Anning berkata serangan itu disebabkan penghijrahan pendatang Islam ke New Zealand.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menyifatkan kenyataan itu sebagai keji dan hodoh.

Sementara itu, Menteri Imigresen Australia, David Coleman pula telah mengisytiharkan penceramah kontroversi, Milo Yiannopoulos tidak dibenarkan masuk ke negara ini susulan kenyataannya yang menyifatkan Islam sebagai agama ganas serta pelik. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast