Abdul Kadir Sheikh Fadzir

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan mengakui pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih kerajaan Persekutuan daripada Barisan Nasional (BN) 10 Mei lalu terlalu perlahan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, beliau melihat empat parti gabungan dalam PH masing-masing menuntut hak kononnya mereka sama besar dan sama penting.

“Tidak sampai setahun mentadbir, mereka mendesak supaya diberi penghargaan yang sama, hak yang sama dan semuanya sama dalam segala-galanya.

“Mereka juga mendesak supaya pucuk pimpinan PH mesti mendengar semua pandangan mereka.

“Mereka megah dengan nilai-nilai barat dan menggunakan kebebasan itu mengkritik serta membelasah sesama mereka sepanjang masa,” katanya pada sidang media mengisytiharkan Deklarasi Solidariti terhadap kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pusat Pelancongan Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, barisan Dewan Tertinggi Parti Ikatan.

Menurut Abdul Kadir, keadaan hari ini jauh berbeza dengan waktu pemerintahan Dr. Mahathir ketika bersama UMNO dahulu, yang mana 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) mempunyai kerajaan yang bersatu padu, mantap, berkesan dan rakyat bahagia.

Katanya, sesiapa sahaja, walaupun bukan Dr. Mahathir pun yang menjadi pemimpin dalam keadaan seperti itu terpaksa membazir banyak masa dalam cubaannya melayani kehendak dan kerenah parti masing-masing dan cubaan mengimbangi tuntutan yang pelbagai.

“Tidak hairanlah sekarang ini terdengar kegelisahan mengenai perjalanan (pentadbiran) kerajaan. Segalanya nampak berjalan terlalu perlahan,” tegasnya.

Beliau menyatakan, harapan rakyat terhadap Dr. Mahathir dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan hanya sekadar memenuhi mandat kerajaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Malah, katanya, rakyat dan negara harapkan kerajaan ini akan menggunakan peluang keemasan yang ada untuk mengkaji dan memperkukuhkan kembali asas negara dan memperteguhkannya agar ia dapat menjamin perpaduan, keselamatan, kemajuan dan kebahagiaan generasi akan datang.

“Rata-rata anggapannya adalah hanya Dr. Mahathir dan Muhyiddin, dengan sokongan pasukannya yang mampu dan boleh memenuhi harapan ini.

“Kerajaan ini sudah memerintah hampir setahun, malangnya terdapat kegelisahan merata-rata,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.