Dr. Ibrahim (kanan) mendengar keluahan penduduk yang mana rumah mereka di di Kampung Tinosa 2, Sandakan kena roboh.
Dr. Ibrahim (kanan) mendengar keluahan penduduk yang mana rumah mereka di di Kampung Tinosa 2, Sandakan kena roboh.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) simpati dan sedih dengan nasib menimpa 23 keluarga di Kampung Tinosa 2, Sandakan, Sabah.

Keluarga berkenaan yang kehilangan rumah akibat diroboh atas arahan mahkamah pada Selasa lalu sepatutnya mendapat perhatian wakil rakyat kawasan itu.

Menurut Ketua Penerangan Perkasa Malaysia, Nasrul Ali Hasan, pihaknya melihat kes itu sebagai satu penindasan ke atas penduduk terbabit, yang mana sepatutnya ada pihak bertanggungjawab campur tangan mencari jalan penyelesaian sebelum keputusan dan perintah mahkamah dikeluarkan.

“Tanah yang asalnya berstatus Native Title itu kini dimaklumkan telah diubah kepada status Country Lease di luar pengetahuan penduduk.

“Tanah tersebut juga difahamkan telah berpindah milik dan dijual beberapa kali kepada orang yang langsung tidak berkenaan dengan penduduk di situ tanpa rundingan mahupun diberi sebarang pampasan.

“Penuntut tanah tersebut memaklumkan tanah itu dibeli daripada orang berbangsa Cina,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysia Gazette semalam.

Rombongan Perkasa menemui keluarga terbabit di Sandakan diketuai Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali; Yang Dipertua Perkasa Sabah, Datuk Rekan Husin; Naib Ketua Wira Perkasa Malaysia, Syed Shahiran; Pengerusi Perkasa Zon 5 Sabah, Hamid Sabar; dan beberapa pimpinan Perkasa Sabah.

Menurut Nasrul Ali Hasan, keluarga tersebut telah pun tinggal di kawasan itu antara 22 hingga 30 tahun.

Namun, ujarnya, keluarga itu diarah mengosong dan meninggalkan kediaman serta penempatan itu setelah pihak terbabit mendapat keputusan mahkamah.

Kata beliau, Perkasa kesal kerana isu itu dibiar begitu sahaja tanpa diambil berat oleh pemimpin tempatan dan ini merupakan satu kezaliman terhadap rakyat.

“Kehadiran kami bersama Persatuan Kebajikan Generasi Enrekang Sabah adalah untuk melahirkan rasa simpati kepada lebih 180 penghuni yang diusir.

“Mereka tidak diberi ganti tempat tinggal sehingga ada yang terpaksa tidur di tapak tinggalan saki baki robohan rumah itu kerana tidak ada hala tuju.

“Perkasa berharap kerajaan negeri campur tangan dan memberi pembelaan kepada keluarga yang kehilangan rumah ini kerana Sabah merupakan negeri besar serta memiliki lebihan tanah luas melebihi jumlah rakyat,” katanya.

Beliau berkata, hal itu tidak sepatutnya berlaku kerana dengan kekayaan bumi Sabah mampu menangani isu berkenaan dengan meletakkan keutamaan dan kesejahteraan rakyat ditempat pertama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast