Salkukhairi Abd. Shukor.

KUALA LUMPUR – Mustahil Tabung Haji (TH) boleh jatuh ke tangan bukan Islam walaupun SPV yang menguruskan aset-asetnya diketuai seorang Cina.

Itu pandangan perundangan oleh Pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR), Salkukhairi Abd. Shukor.

Ini kerana, menurutnya, sesebuah syarikat sendirian berhad itu mempunyai entiti terpisah (separate entity) dengan ahli lembaga pengarah mahupun ketua pegawai eksekutifnyanya.

“Syarikat itu sendiri boleh berdiri dengan sendirinya tanpa terikat dengan liabiliti yang dipegang oleh ahli lembaga pengarah mahupun CEO nya. Maka justeru itu tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana apa-apa terjadi kepada ahli lembaga pengarah mahupun CEO nya tidak akan memberi apa-apa kesanpun kepada SPV tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kekecohan isu aset-aset TH yang akan diuruskan oleh SPV akan menyebabkan ia jatuh ke tangan orang bukan Islam kerana CEO SPV bukan seorang muslim.

Salkukhairi yang juga seorang peguam menegaskan, sungguhpun sesebuah SPV yang ditubuhkan di bawah sesuatu kementerian itu ditadbir oleh ahli lembaga pengarah yang diketuai oleh seorang CEO, dalam apa jua keputusan, ahli lembaga pengarah mahupun CEO tidak boleh membuat sebarang keputusan atas kapasiti peribadi sebaliknya mereka terikat dengan polisi, agenda dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan selaku “pemegang saham” terbesar dalam SPV tersebut.

“Ini bukan “syarikat anak beranak” yang mana pemegang saham dan ahli lembaga pengarahnya adalah individu yang sama yang sesuka hati boleh buat apa sahaja yang mereka hendak demi mengejar keuntungan semata-mata,” katanya lagi.

Selain itu, sesebuah syarikat itu termasuklah SPV tertakluk kepada Memorandum & Article of Association (M&A) yang menjadi “perlembagaan” bagi sesebuah syarikat tersebut.

Kegagalan mematuhi M&A itu boleh menyebabkan mereka dinyah daftarkan.

“Dalam kes SPV TH ini, fungsi mereka adalah tidak lain dan tidak bukan sebagai entiti yang menguruskan aset-aset tidak untung yang dimiliki oleh TH selama ini dengan berbalaskan pegangan instrumen pelaburan Sukuk dan saham keutamaan boleh tebus – Islamik (RCPS-I) untuk dimiliki oleh TH, memandangkan tiada pihak yang berminat untuk berurusniaga dengan aset-aset tidak untung tersebut.

“Maka adalah mustahil sebuah SPV yang diketuai oleh bukan Islam mempunyai kuasa yang begitu besar sehingga boleh melangkaui M&A mereka dan mampu “merampas” semua kepentingan kerajaan di dalam TH itu sendiri,” ujarnya.

Satu lagi, menurutnya, perlu difahami setiap ahli lembaga pengarah yang dilantik dalam sesebuah SPV itu terikat dengan Garis Panduan Lantikan Ahli Lembaga Pengarah Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

Melalui garis panduan tersebut mereka terikat untuk mepastikan supaya pengurusan syarikat ditadbir dan di kawalselia berdasarkan prisip akauntibiliti kepada parlimen dan rakyat, memastikan tadbir urus dan kawalan bagi mengelakkan berlakunya salah guna kuasa dalam pengurusan syarikat, memastikan pengurusan syarikat mewujudkan
polisi dan Standard Operating Procedures (SOP) bagi memantapkan tadbir urus syarikat danLembaga Pengarah perlu merujuk kepada kementerian yang berkenaan bagi perkara-perkara yang memerlukan kelulusan pemegang saham seperti mana yang digariskan di bawah Akta Syarikat 2016, M&A syarikat dan perkara-perkara yang melibatkan dasar kerajaan.

“Justeru itu berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, amat retorik kalau hendak kita katakan dengan hanya disebabkan SPV yang mengambil alih aset-aset tidak untung TH ini diketuai oleh orang bukan Islam, maka kita terus membuat konklusi yang TH akan dikuasai oleh orang bukan Islam.

“Sepatutnya kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berkepakaran dalam sesuatu bidang tanpa mengambil kira faktor kaum mahupun agama atau kecenderungan politik mereka untuk sama-sama menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka dalam membantu memulihkan kembali sesebuah institusi milik umat Islam yang hampir rosak oleh pemimpin-pemimpin korup yang menguruskannya suatu masa dahulu.

“Bukannya hanya memomokkan dengan sentimen perkauman sempit yang tidak ada asasnya, semata-mata demi mengejar kepentingan dan survival politik segelintir pihak,” katanya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/27/kenapa-aset-tabung-haji-diselia-bukan-islam/