Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (dua kanan) diiringi oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Ramli(tengah) menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Program Tunas Usahawan Baitulmal di Dewan Mahkota, SME Corp. Malaysia, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 02 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali dalam sejarah, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dilantik dalam kalangan orang luar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kebiasaan kerajaan sebelum ini sesiapa yang dilantik sebagai menteri di JPM secara automatik memegang jawatan Pengerusi MAIWP.

Katanya, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Persekutuan dan dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid melepaskan jawatan Pengerusi MAIWP.

“Saya lantik orang yang berpengalaman dan berwibawa, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee sebagai pengerusi. Kalau menteri yang jaga sebagaimana sebelum ini, pengurusan MAIWP tidak berjalan sebagaimana diharapkan.

“Saya buat keputusan Pengerusi MAIWP orang luar, bukan saya agar dana itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya selepas majlis pelancaran Program Tunas Usahawan Baitulmal di Dewan Mahkota, SME Corp Malaysia hari ini.

Mujahid menjelaskan, pada tahun lalu, MAIWP mengutip zakat berjumlah kira-kira RM700 juta dan dijangka meningkat RM1 bilion tahun ini.

Sebelum ini, pada era kerajaan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd. Jamil Khir Baharom adalah Pengerusi MAIWP dan menimbulkan kontroversi apabila didakwa berlaku pemborosan.

Justeru, apabila PH mengambil alih, Mujahid menukar kaedah itu dengan memberi tanggungjawab kepada orang luar untuk mengurus MAIWP tanpa campur tangan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast