Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan pada Februari 2019 menurun 7.2% kepada RM122.1 bilion berbanding Februari 2018.

Ia juga menurun 23.3% atau RM37.1 bilion berbanding bulan sebelumnya. Lebihan dagangan adalah RM11.1 bilion, meningkat 22.7% atau RM2.0 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, ia jatuh RM452.5 juta (-3.9%) berbanding bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berasaskan tahun ke tahun, eksport menurun 5.3% kepada RM66.6 bilion.

Produk-produk utama yang menyebabkan penurunan adalah keluaran petroleum bertapis, yang menyumbang 5.4% kepada jumlah eksport, merosot RM1.6 bilion atau 30.9% kepada RM3.6 bilion manakala minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (7.1% daripada jumlah eksport), menyusut RM730.1 juta (-13.4%) kepada RM4.7 bilion.

Eksport minyak kelapa sawit, komoditi utama dalam kumpulan produk ini juga menurun RM346.0 juta atau 11.4% berikutan penurunan dalam nilai purata seunit (-13.6%) walaupun volum eksport meningkat 2.5%;

Petroleum mentah yang menyumbang 2.9% daripada jumlah eksport menurun RM530.2 juta atau 21.8% kepada RM1.9 bilion berikutan penurunan dalam kedua-dua volum eksport (-16.8%) dan nilai purata seunit (-6.0%);

Getah asli (0.3% daripada jumlah eksport) menurun RM69.9 juta atau 23.1% kepada RM233.1 juta disebabkan oleh penurunan dalam kedua-dua volum eksport (-17.2%) dan nilai purata seunit (-7.1%); dan

Kayu dan hasil keluaran kayu, yang mewakili 2.1% daripada jumlah eksport, menurun RM23.6 juta atau 1.7% kepada RM1.4 bilion.

Manakala produk-produk berikut mencatatkan peningkatan ialah barangan elektrik dan elektronik (38.8% daripada jumlah eksport), meningkat RM1.2 bilion atau 4.9% kepada RM25.8 bilion dan gas asli cecair, yang menyumbang 4.7% daripada jumlah eksport meningkat RM247.7 juta atau 8.6% kepada RM3.1 bilion disebabkan oleh peningkatan dalam nilai purata seunit (+18.9%) walaupun volum eksport menurun 8.7%.

Berasaskan bulan ke bulan, eksport menurun 22.0% atau RM18.8 billion daripada RM85.4 bilion. Produk-produk utama yang menyebabkan kepada penurunan adalah:

Barangan elektrik dan elektronik lebih rendah sebanyak RM8.5 bilion atau 24.7% daripada RM34.3 bilion dan gas asli cecair menurun RM2.0 bilion (-39.1%) daripada RM5.2 bilion disebabkan oleh volum eksport yang lebih rendah (-40.4%) walaupun nilai purata seunit meningkat 2.2%;

Sementara itu, minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit menurun RM709.5 juta atau 13.1% daripada RM5.4 bilion.

Eksport minyak kelapa sawit berkurang RM581.2 juta or 17.8% berikutan penurunan dalam volum eksport (-21.6%) walaupun nilai purata seunit meningkat 4.9%;

Kayu dan hasil keluaran kayu menurun RM702.8 juta atau 33.8% daripada RM2.1 bilion;

Petroleum mentah merosot RM558.3 juta atau 22.7% daripada RM2.5 bilion berikutan penurunan dalam kedua-dua volum eksport (-22.5%) dan nilai purata seunit (-0.2%);

Keluaran petroleum bertapis, jatuh RM59.9 juta atau 1.6% daripada RM3.7 bilion disebabkan oleh penurunan dalam nilai purata seunit (-2.3%) walaupun volum eksport meningkat 0.6%; dan

Getah asli menurun RM42.0 juta atau 15.3% daripada RM275.1 juta disebabkan oleh volum eksport yang lebih rendah (-17.5%) walaupun nilai purata seunit meningkat 2.7%.

Dua destinasi utama eksport Malaysia bagi bulan Februari 2019 adalah Singapura dan China.

Eksport ke Singapura yang bernilai RM9.1 billion menyusut RM267.7 juta (-2.9%) berbanding setahun yang lalu.

Katanya, eksport ke China yang bernilai RM8.5 billion turut menyusut RM138.5 juta (-1.6%).
IMPORT

Berasaskan tahun ke tahun, import menurun 9.4% kepada RM55.5 bilion.

Penurunan import disebabkan oleh barangan modal, barangan perantaraan dan barangan penggunaan.

Import barangan modal, yang mencakupi 11.9% kepada jumlah import, menyusut RM1.2 bilion atau 14.9% kepada RM6.6 bilion berikutan penurunan di dalam kedua-dua kelengkapan pengangkutan, perindustrian (-RM870.7 juta, -51.5%) dan barangan modal (kecuali alat kelengkapan pengangkutan)(-RM290.6 juta, -4.8%).

Barangan ini yang merangkumi 57.4% daripada jumlah import menurun RM910.9 juta (-2.8%) kepada RM31.9 bilion. Penurunan ini terutamanya disebabkan bekalan perindustrian, diproses (-RM956.0 juta, -7.4%), bahan api & pelincir, diproses, lain-lain (-RM729.6 juta, -43.3%) dan alat ganti & aksesori barang modal (kecuali alat kelengkapan pengangkutan) (-RM595.1 juta, -5.3%). Sebaliknya, bahan api & pelincir, utama serta makanan & minuman, utama, khusus untuk industri meningkat masing-masing RM1.4 billion (+78.2%) dan RM155.1 juta (+34.3%).

Import barangan penggunaan yang menyumbang 8.2% daripada jumlah import merekodkan penurunan sebanyak RM595.7 juta (-11.6%) kepada RM4.6 bilion.

Penurunan ini disebabkan oleh barangan tahan lama (-RM182.6 juta, -26.8%), barangan separa tahan lama(-RM176.1 juta, -16.8%) dan makanan & minuman, utama, khusus untuk penggunaan isirumah (-RM131.7 juta, -19.0%).

Berasaskan bulan ke bulan, import menyusut RM18.3 bilion atau 24.8% daripada RM73.9 bilion. Penyusutan ini disebabkan oleh barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan. – MalaysiaGazette