Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof (kanan) diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh (dua kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat (kiri) melihat jumlah hibah tahunan Tabung Haji pada majlis Taklimat Prestasi Lembaga Tabung Haji dan Pengumuman Hibah Bagi Tahun 2018 di Kompleks Islam, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 05 APRIL 2019

PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan hibah terendah dalam sejarah sebanyak 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 berakhir 31 Disember lalu yang melibatkan agihan sebanyak RM913 juta kepada 9.3 juta pendepositnya.

Agihan tersebut turut mengambil kira RM85.5 juta zakat yang akan dibayar kepada pusat-pusat zakat di seluruh negara.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof di sini hari ini.

Jelasnya, TH telah mencatatkan lebihan aset sebanyak RM1 bilion bagi tempoh berkenaan hasil penstrukturan semula syarikat tersebut.

Ini membolehkan TH membayar hibah mengikut Akta Tabung Haji 1995 yang menetapkan pengisytiharan hibah dibuat sekiranya entiti tersebut mempunyai keuntungan boleh agih dan memiliki aset melebihi liabiliti.

“Sudah empat tahun TH membuat pembayaran hibah dengan melanggar aktanya,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan dan hibah Tabung Haji di sini.

Tambah Mujahid, beliau yakin TH di bawah pengurusan baharu bakal menjadi lebih cemerlang dan berjaya keluar daripada isu legasi yang ditanggungnya akibat urustadbir lemah semasa kerajaan Barisan Nasional.

Setakat 31 Disember 2018, TH merekodkan aset keseluruhan berjumlah RM76.5 bilion yang lebih tinggi berbanding liabiliti sebanyak RM75.5 bilion.

Pendapatan bagi tahun kewangan dalam kajian adalah RM4.2 bilion manakala keuntungan boleh agih sebanyak RM2 bilion.

Katanya, walaupun telah melaksanakan penstrukturan, TH masih perlu merekodkan rosot nilai sebanyak RM1.5 bilion di mana sebahagian besar jumlah tersebut sepatutnya dikira pada tahun kewangan sebelumnya,

Ini jelasnya telah menyebabkan jumlah keuntungan boleh agih TH berkurangan.-MalaysiaGazette