Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah memohon maaf kepada Kerajaan Negeri Kelantan susulan kenyataan yang mengaitkan orang Kelantan sebagai ‘kaki kelab malam’.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Menurutnya, kerajaan negeri itu menerima permohonan maaf Azhar, malah bersykur Pengerusi SPR itu mengakui kesilapannya.

“Alhamdulillah, kita menerima permohonan maaf beliau,” katanya selepas menghadiri Seminar Hala Tuju Industri Mineral di sini.

Beliau berkata, permohonan maaf itu membersihkan nama rakyat Kelantan, sama ada yang berada di dalam mahupun di luar negeri.

Azhar sebelum ini berkata, pelaksanaan bagi pendaftaran pengudi secara automatik pada pilihan raya akan datang sukar dilaksanakan kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan seseorang yang mengundi di tempat awal mereka mendaftar sebagai pengundi biarpun menetap di tempat lain.

Disebabkan itu, orang Kelantan balik ke negeri ini untuk menyokong hudud walaupun pada masa lain mereka berada di Kuala Lumpur dan pergi ke kelab malam.

Kenyataan Azhar itu dikecam oleh pelbagai pihak termasuk Menteri Besar Kelantan yang mendakwa kenyataan seumpama itu menghina rakyat negeri tersebut. – MalaysiaGazette