Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

RANTAU – Serangan bertubi-tubi Pakatan Harapan (PH) mengenai kekayaan Datuk Seri Mohamad Hasan dibidas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Dalam satu ceramah di Taman Kelab Tuanku, Khairy bangkit mempertahankan hasil kekayaan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu yang kini menjadi bahan serangan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, isu kekayaan Mohamad tidak sepatutnya dipertikai kerana beliau merupakan tokoh korporat serta memegang jawatan penting dalam syarikat pengeluar kereta antarabangsa sebelum menceburi bidang politik pada tahun 2004.

MGF08042019_CERAMAH SEPENTAS BN PRK RANTAU_42
Para penyokong mengibarkan bendera Barisan Nasional ketika hadir pada ceramah sepentas BN sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Mambau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 08 APRIL 2019

“Tok Mad bukan profesional politik, bukan ahli politik sejak muda, pada tahun 2004, Pak Lah (Abdullah Badawi) panggil Tok Mad yang ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mercedes-Benz.

“Beliau bukan CEO jaga di Malaysia tetapi CEO di Asia Tenggara. Jarang sekali kita tengok syarikat Eropah lantik anak tempatan jadi CEO di negara yang mereka melabur.

“Pak Lah minta dia tinggalkan jawatan itu, menang dilantik jadi MB (menteri besar).

“Gaji menteri besar dengan korporat jauh beza tetapi sebab dia sayangkan Rantau, dia sanggup.

“Tak hairan kalau dia ada harta, orang Rantau tahu cerita ini tapi orang luar mungkin tak tahu,” katanya ketika berucap di program Ceramah Sepentas BN di Taman Kelab Tuanku malam tadi.

MGF08042019_CERAMAH SEPENTAS BN PRK RANTAU_43
Para penyokong mengibarkan bendera Barisan Nasional ketika hadir pada ceramah sepentas BN sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Mambau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 08 APRIL 2019

Turut hadir Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker dan Presiden Makkal Sakti, R.S Thanenthiran.

Dalam siri ceramah beberapa pemimpin PH, mereka telah memulakan serangan peribadi terhadap Mohamad selepas tempoh kempen memasuki pusingan akhir.

Antaranya, dengan membangkitkan isu-isu yang dilakukan sewaktu Timbalan Presiden UMNO itu menjadi Menteri Besar.

“Apabila pihak lawan lihat kepada momentum kita yang semakin meningkat (di Rantau), kita lihat dalam tempoh dua, tiga hari lepas mereka mula lakukan serangan peribadi. Sebelum ini mereka bercakap tentang dasar dan janji PH tetapi sekarang banyak serangan peribadi.

“Mereka tidak tahu di Rantau ini sinonim dengan Mohamad Hasan dan Mohamad Hasan ini sinonim dengan Rantau. Macam-macam cerita diungkit semula. Yang saya baca, mereka persoalkan tentang pengisytiharan harta Tok Mad.

“Semasa dalam kerajaan BN, menteri dan menteri besar biasa isytiharkan harta kepada SPRM boleh tengok balik fail-fail,” katanya.

Calon PH, Dr S Streram semalam dalam satu siri kempennya mendesak Mohamad memberikan penjelasan berhubung dakwaan memiliki rumah banglo di Seremban 2.

Streram yang juga timbalan pengerusi PKR Cabang Rembau mengulas gambar rumah Minangkabau tersebut yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Banglo tersebut yang dikatakan bernilai hampir RM6 juta itu didakwa terletak di Saujana Duta, Seremban 2. -MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/08/tok-mad-rumah-minangkabau-di-seremban-2-siapa-punya/