Menteri Pertanian dan Asas Tani (MOA), Datuk Salahuddin Ayub

KLANG (Bernama) — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub hari ini menegaskan tidak wujud sebarang projek pembangunan yang menyebabkan setiausaha politiknya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, siasatan SPRM terhadap setiausaha politiknya juga telah selesai dan setakat ini tiada sebarang tindakan diambil ke atas lelaki berkenaan.

“Tiada projek (yang akan dibangunkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani), it’s a nonsense (itu mengarut),” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan kilang susu Goodday di sini, hari ini.

Jelas Salahuddin, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk setiausaha politiknya itu terus menjalankan tugas seperti biasa memandangkan tiada pendakwaan dikenakan ke atas pegawai tersebut.

“Sejak hari pertama (setiausaha politiknya dibebaskan daripada tahanan reman) pun dia sudah bertugas. Saya tidak mempunyai masalah untuk beliau bertugas,” katanya.

Pada 1 April lepas, SPRM menahan setiausaha politik berumur 47 tahun itu kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan bernilai kira-kira RM28,000 namun dibebaskan pada Khamis lalu.

Menurut sumber, penerimaan jam tangan itu adalah sebagai dorongan untuk membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek di bawah kementerian tersebut.- BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

Setiausaha politik menteri direman

Setiausaha politik ditahan: Saya tidak akan campur tangan siasatan SPRM, Salahuddin