Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas hadir pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 10 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan pemilihan Menteri Besar sebenarnya tidak terletak dalam bidang kuasa ‘Istana’ seperti yang diperkatakan memandangkan Malaysia masih mengamalkan sistem demokrasi sehingga kini.

Kata Mahathir dengan nada tegas, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan bukan raja yang berkuasa mutlak.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, perkara tersebut jelas ketika membentuk Persekutuan Tanah Melayu dengan menggubal undang-undang negara, Perlembagaan Persekutuan.

“Ketika waktu kita membentuk Persekutuan Tanah Melayu, kita memperkenalkan undang-undang negara, Perlembagaan.

“Dalam Perlembagaan ini, kita telah nyatakan Persekutuan Tanah Melayu dan negeri-negeri dalam persekutuan ini mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

“Bukan raja berkuasa mutlak. Kalau ianya masih ada dalam undang-undang perlembagaan Johor, itu terbatal dan Johor juga bersetuju dengan sistem pemerintahan dalam negara kita ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Tun Mahathir mengulas titah  Sultan Johor, Sultan Ismail Sultan Iskandar di laman sosial Facebook baginda yang meminta pihak tertentu untuk tidak mencampuri urusan Kerajaan Negeri Johor beberapa jam lepas.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan.

“Saya akan buat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti,” titah Baginda.

Jelas Tun Mahathir, Malaysia bukan lagi negara demokratik jika raja yang mempunyai kuasa mutlak untuk memilih Perdana Menteri dan Menteri Besar.

“Walaupun rakyat telah pilih parti yang berhak untuk melantik Menteri Besar, tetapi jika hak rakyat dinafikan, maka kita bukan (negara) demokrasi, kita sudah jadi negara beraja kuasa mutlak.

“Kalau ini sebenarnya berlaku, kita boleh buat perbahasan sama ada kita menerima sistem pemerintahan sedia ada, iaitu raja tidak berkuasa, hanya mengambil tindakan atas nasihat kerajaan pusat.

“Kalau itu sudah dihapuskan, maka kita tak perlu ada pilihan raya lagi.” ujarnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/10/sultan-johor-ada-kuasa-mutlak-pelantikan-menteri-besar/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/10/sultan-tidak-ada-peruntukan-lantik-mb-tun-m/