Peguam, Kamarudin Ahmad (dua kanan), Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina, Tony Tan (kanan) dan Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah (dua kiri) pada sidang media mengenai pembongkaran salahguna kuasa ahli-ahli DAP yang mengugut para pemilik gerai makanan dan pengusaha pasar malam di kawasan Kuala Lumpur di perkarangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 16 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Pihak atasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa supaya menyiasat sekiranya ada ‘tangan-tangan ghaib’ dalam agensi penguatkuasa pihak berkuasa tempatan itu terlibat dengan aktiviti mengutip yuran tahunan lebih daripada 100 peniaga pasar malam.

Peguam yang mewakili tujuh daripada 100 peniaga pasar malam berkenaan, Kamaruddin Ahmad berkata, perkara itu perlu dihentikan segera kerana telah memberikan tekanan kepada peniaga pasar malam yang mempunyai pendapatan tidak menentu.

Malah, jika benar ada unsur-unsur atau arahan yang dikeluarkan oleh DBKL sendiri berhubung kutipan yuran tahunan oleh pihak swasta ia perlu diperjelaskan kerana perkara itu tidak seharusnya berlaku ekoran telah melanggar bidang kuasa.

“Kita rasa ada pihak-pihak dalam DBKL yang merestui apa yang dilakukan oleh persatuan penjaja ini.

“Kita nak tegaskan bahawa apa yang dibuat oleh persatuan itu adalah diluar bidang kuasa. Persatuan penjaja tiada kuasa nak kenakan bayaran.

“Kutipan yuran tahunan yang diambil itu oleh pihak DBKL akan jadi pendapatan kepada pihak berkuasa tempatan itu.

“Persoalannya, mengapa DBKL benarkan pihak swasta buat kutipan ini. Mana yang takut (peniaga) akan bayar sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan DBKL di sini hari ini.

MGF16042019_PENIAGA BONGKAR SALAH GUNA KUASA32
Kamarudin Ahmad

Beliau hadir bersama beberapa NGO bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Khalid Samad berhubung rungutan peniaga di empat lokasi pasar malam apabila dikenakan yuran tahunan memperbaharui lesen berniaga berjumlah RM210.

Yuran tahunan itu sebelum ini hanya dibayar sebanyak RM20 setahun dan kini jumlah bayaran meningkat mendadak sehingga 100 peratus menyebabkan peniaga-peniaga terlibat mengeluh.

Malah, situasi lebih menghairankan apabila kutipan yuran tahunan untuk memperbaharui lesen berniaga itu kini dikutip pula oleh sebuah NGO yang menggunakan nama Persatuan Penjaja Pasar Malam.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, sebanyak empat laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu untuk siasatan jika ada berlakunya penyalahgunaan kuasa.

Katanya, laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga turut akan dibuat sebagai langkah susulan sekiranya sebarang tindakan tidak diambil.

“Buat masa ini kita bertemu secara baik dahulu dengan DBKL bagi mendapatkan penjelasan berhubung hal ini.

“Langkah-langkah seterusnya akan dibuat kemudian jika segala yang dilakukan tidak berkesan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette