KUALA LUMPUR – Tuduhan aktivis kontroversi Numan Afifi bahawa kerajaan telah mendanai program keganasan ke atas golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) adalah jelas suatu kebohongan nyata.
Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Hishamuddin Abdul Karim, ucapan aktivis yang mendakwa memperjuangkan LGBT di Geneva, Switzerland Mac lalu itu boleh menjejaskan reputasi negara, kerajaan dan rakyat Malaysia.
“Berucap sewenang-wenangnya di pentas antarabangsa dan mempertahankan ucapan itu atas nama kebebasan menunjukkan kedangkalannya dalam memahami prinsip kebebasan yang seharusnya dibatasi dengan etika dan norma.
“Sewajarnya beliau menarik semula ucapan tersebut dan meminta maaf, selain tindakan juga patut dikenakan ke atas NGO yang telah mengemukakan laporan salah itu termasuk mempromosi budaya songsang di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Serentak itu, kata Hishamuddin, DPPM menyokong Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atas usaha sama sejak 2011 menganjurkan Mukhayyam bagi memulihkan golongan LGBT menerusi aktiviti keagamaan, kesihatan dan rekreasi.
Kata beliau, pihaknya juga tanpa berganjak, tegas menyatakan pendirian LGBT adalah suatu kemungkaran dan jenayah di sisi Islam serta undang-undang di negara ini, bahkan perlakuannya merosakkan ketamadunan manusia.
“Kami mengingatkan bahawa melanggari batas undang-undang dan agama dalam memperjuangkan kebebasan individu yang palsu ini adalah suatu pengkhianatan terhadap kemanusiaan sejagat yang mesti dihentikan,” ujarnya.
Berikutan ucapannya itu, Polis Bukit Aman membuka kertas siasatan dan memanggil Numan untuk mengambil keterangannya pada 26 April ini. – MalaysiaGazette
















