Mohd Akmal membidas ADUN DAP menuduh Kelantan paling tinggi HIV kerana tiada pawagam
Mohd Akmal membidas ADUN DAP menuduh Kelantan paling tinggi HIV kerana tiada pawagam

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Undangan Negeri Perak semalam kecoh apabila seorang wakil rakyat dari DAP mengaitkan peningkatan kes HIV di Kelantan berpunca daripada tindakan kerajaan negeri itu tidak membenarkan kewujudan pawagam.

Ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Chong Zhemin ketika berucap membahas Titah Diraja, dikecam ADUN Selama dari Pas, Mohd Akmal Kamaruddin yang menyifatkannya sebagai biadab.

Menurut Mohd Akmal, tindakan wakil rakyat DAP itu bukan sahaja bermaksud jahat dan menghina, malah telah menyinggung perasaan rakyat Kelantan.

“Mempertikaikan keputusan kerajaan Pas Kelantan tidak membenarkan kewujudan pawagam hingga mengaitkannya dengan peningkatan HIV adalah tindakan biadab.

“Malah, kenyataan ini adalah tidak bertanggungjawab serta tidak profesional dilakukan seorang Ahli Yang Berhormat,” katanya sebagaimana dilaporkan portal rasmi Pas, Harakahdaily.

Mengulas lanjut, Mohd Akmal menyatakan, polisi untuk tidak membenarkan ada panggung wayang di Kelantan dibuat sejak negeri itu dipimpin bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi, malah ketika Pas bersama DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Kenapa dahulu tidak cakap (pertikaikan)? Hari ini cakap ada kaitan dengan HIV. Mana pimpinan PAN (Parti Amanah Negara) yang dahulunya bersama Pas dan Tuan Guru Nik Aziz? Kenapa tidak tegur kebiadaban ADUN Keranji ini?” persoalnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Perak menggesa Chong Zhemin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Kelantan.

Mohd Akmal turut menyangkal dakwaan itu dan menegaskan Kelantan bukan negeri tertinggi HIV, sebaliknya statistik tahun 2017 menunjukkan penghidap HIV teratas dari Kelantan ialah di Pulau Pinang dengan 193 kes.

Statistik itu juga menunjukkan tiga negeri paling tinggi kes HIV ialah Selangor dengan 968 kes, diikuti Wilayah Persekutuan (464 kes) dan Johor (347 kes).

“Tindakan kerajaan Pas Kelantan tidak membenarkan pawagam dibuka adalah salah satu langkah pencegahan. Naif sekali sekiranya tindakan ini dianggap ekstrem kemudian mengaitkan pula dengan HIV.

“Kenyataan tidak rasional tanpa fakta dan tiada kajian menunjukkan Chong Zhemin merupakan ekstremis pembenci Pas,” bidas beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sama la macam YB Taliban DAP aritu. X tahu keadaan sebenar Kelantan, tp kemain bercakap. Shame on DAP for having these people as their YB.

Comments are closed.