KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Peguam Negara berhenti mengganggu perjalanan perbicaraan ke atas suspek yang terlibat dalam kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, biar mahkamah yang membicara dan membuat keputusan ke atas kes itu dengan pindaan pertuduhan ke atas suspek dari cubaan membunuh kepada membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kata beliau, pindaan pertuduhan itu telah disyorkan polis yang menjalankan siasatan ke atas kes berkenaan sebelum Peguam Negara mahu ianya dilangsungkan secara inkues.
“Hasil pemerhatian ini, Perkasa menggesa Peguam Negara membatalkan SD yang telah dibuat dan berhenti mengganggu perjalanan perbicaraan ke atas suspek yang terlibat.
“Biar mahkamah yang membicara dan membuat keputusan ke atas kes ini. Lagipun, pertuduhan ke atas suspek perlu dipinda dari cubaan membunuh kepada membunuh di bawah Seksyen 302 KK seperti disyorkan polis yang telah menjalankan siasatan ke atas kes ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Dr. Ibrahim kesal pihak Peguam Negara telah membebaskan suspek walaupun polis memohon Pendakwaraya mengubah pertuduhan kepada kesalahan bunuh, sebaliknya mengarahkan untuk diadakan inkues pula.
Tegas beliau, tindakan itu agak luar biasa pelik dan meragukan.
“Sewaktu inkues sedang berjalan sekali lagi pejabat Peguam Negara melakukan tindakan lebih meragukan apabila seorang Timbalan Pendakwa Raya telah diarah membuat SD mengesahkan punca kematian Muhammad Adib bukan akibat dipukul.
“Apa motif rantaian tindakan pejabat Peguam Negara? Kenapa tindakan ini dilakukan sewaktu inkues masih dan sedang berjalan? Adakah tujuannya untuk mempengaruhi saksi dalam memberi keterangan dan tekanan kepada koroner dalam membuat pendengaran dan penghakiman?
“Ini adalah satu ‘bad precedent’ yang cuba dilakukan pejabat Peguam Negara. Kenapa beriya-ia benar pihak ini berusaha melindungi suspek. Apakah pertuduhan ke atas mereka sudah ditarik balik?” soal beliau.
Dr. Ibrahim turut mempersoalkan mengapa proses Sistem Keadilan Jenayah dalam kes Muhammad Adib tidak dibenarkan berjalan, dan di mana ikrar melaksanakan ‘Rule of Law’ yang diuar-uarkan selama ini.
“Mana keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib, pasukan Bomba dan Penyelamat dan keluarganya?
“Muhammad Adib seorang petugas pasukan Bomba dan Penyelamat yang terkorban ketika operasi memadam kebakaran serta menyelamat mangsa kebakaran dan rusuhan di Kuil Mariamman, Seafield, Subang Jaya.
“Tugasnya sangat murni dan memerlukan pengorbanan, tetapi beliau terbunuh akibat sikap ganas manusia yang tidak berperi kemanusiaan dan berniat jahat,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek telah pun dituduh dengan kesalahan cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 KK berasaskan kecederaan parah akibat serangan suspek dengan bukti yang ada hasil siasatan pasukan polis dan pakar perubatan.
Bagaimanapun, nyawanya tidak dapat diselamatkan walaupun segala usaha dan kepakaran dari Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Institut Jantung Negara (IJN) digemblengkan.
“Beliau meninggal dunia sebagai seorang wira,” katanya. – MalaysiaGazette
















