KUALA LUMPUR – Kerajaan Johor bakal mempunyai barisan anggota Exco yang baharu selepas semua nama yang diserahkan kepada Sultan Ibrahim Iskandar hari ini akan mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene, esok.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah menyerahkan senarai nama Ahli Majlis Mesyarat Kerajaan Negeri baharu itu kepada Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi pagi ini.
Sultan Ibrahim, dikatakan memberi perkenan kepada Muhyiddin untuk terima mengadap baginda kira-kira jam 11 pagi tadi.
Ahad lalu, Dr. Sahruddin Jamal telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan pada 8 April lalu.
Sehari sebelum itu, Osman memaklumkan Sultan Johor menetapkan syarat supaya menteri besar yang baharu membuat rombakan barisan Exco Kerajaan Begeri.
Bagaimanapun, bercakap kepada pemberita pada 17 April lalu, Dr. Sahruddin memaklumkan rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor dijangka dimuktamadkan menjelang akhir minggu. – MalaysiaGazette
















