KUALA LUMPUR – Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil bersedia memberi kerjasama kepada polis berhubung tindakannya memuat naik rakaman transkrip video Court Recording and Transcription (CRT) perbicaraan Datuk Seri Najib Razak dalam akaun Facebook beliau kelmarin.
Katanya, walaupun sehingga petang semalam, tiada laporan polis dibuat mana-mana pihak daripada Pakatan Harapan (PH), tetapi beliau percaya polis mungkin diarah untuk membuat siasatan terbuka kepadanya.
“Saya akan memberi kerjasama sebab saya faham polis hanya menjalankan tugas, dan saya juga pernah berkhidmat bersama mereka semasa saya dalam kerajaan dahulu.
“Minggu depan saya akan ke Bukit Aman untuk membuat kenyataan,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.
Semalam, Isham yang merupakan bekas pegawai khas Najib dilaporkan berkata, tindakannya memuat naik rakaman CRT itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa peguam pro PH.
Beliau berkata, kumpulan peguam PH dijangka membuat laporan polis terhadapnya.
Menurut Isham, walaupun ada pihak PH sebelum ini menggertak untuk membuat laporan polis, mereka telah menarik diri.
“Mungkin kerana penyokong dan peguam mereka yang sebelum ini seronok menyerkap jarang dan mengatakan perkara tersebut salah dan menghina mahkamah, kini sedar yang mereka telah tersilap langkah dan tidak mahu terus memalukan diri sendiri.
“Saya jangka esok lusa mungkin mereka buat laporan polis juga sebab untuk sekadar menjaga air muka supaya tidak digelar pengecut oleh penyokong sendiri.
“Namun dalam keadaan terdesak, ada juga penyokong PH yang masih cuba menegakkan benang basah,” katanya. – MalaysiaGazette
















