KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengutuk keras insiden keganasan di tiga gereja dan tiga hotel di Sri Lanka semalam.
Keganasan yang mengorbankan sebanyak 207 nyawa dan mencederakan kira-kira 500 orang ketika sambutan Hari Easter oleh penganut Kristian itu tidak patut berlaku.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan mengecam tindakan menceroboh dan merosakkan mana-mana rumah ibadat.
“Tindakan ini bukan sahaja akan membangkitkan kemarahan, tetapi menyebabkan kebencian antara agama malah Islam turut menolak semua bentuk keganasan yang melibatkan orang awam.
“Takziah saya ucapkan kepada semua mangsa dan keluarga yang terlibat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan itu, beberapa letupan menggegarkan Kochikade Church, Katuwapitiya Church, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan Gereja St. Barnabas di Batticaloa, Colombo. – MalaysiaGazette
















