KUALA LUMPUR – Peguam Negara patut meletakkan jawatan kerana sepanjang memegang jawatan itu sejak Jun lalu, Tommy Thomas tidak henti-henti menghampakan rakyat.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, sebelum ini Tommy telah gagal memelihara negara daripada tersilap menandatangani Statut Rom dan terburu-buru mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dengan mendahului keputusan kerajaan.
Beliau juga kesal dengan tindakan Peguam Negara memfailkan afidavit mengatakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim mati dipukul sedangkan keputusan inkues belum dikeluarkan.
“Pada masa sama, tegas beliau, trend menggugurkan pendakwaan dilihat semakin menjadi-jadi termasuk dikritik hebat kerana memberi arahan untuk tidak meneruskan kes terhadap Siti Aisyah yang dituduh membunuh Kim Jong Nam sedangkan permohonan ditolak.
“Sudahlah Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR) turut dilepaskan hanya dengan melalui surat representasi.
“Sekarang, tertuduh yang membunuh pembantu rumah warga Indonesia juga turut dilepaskan walaupun terdapat banyak bukti kukuh berkaitan dengan penderaan,” katanya menerusi kenyataan kepada media hari ini.
Menurut Ahmad Amzad, paling memualkan apabila Tommy dalam kenyataannya berjanji untuk menyiasat keputusan mahkamah melepaskan tertuduh dalam kes pembuhuhan amah itu.
Katanya, tanpa arahan daripada Peguam Negara, tertuduh tidak mungkin dapat dilepaskan tanpa dibebaskan.
“Jadi, ianya terang-terangan satu penipuan kalau Peguam Negara berjanji untuk menyiasat arahan Peguam Negara sendiri untuk melepaskan tanpa dibebaskan.
“Alasan tidak tahu-menahu mengenai penarikan kes oleh pihak pendakwaan turut digunakan ketika kes Guan Eng digugurkan awal tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, Tommy seperti tidak faham fungsi dan peranan sebagai Peguam Negara yang perlu membuat keputusan dengan meletakkan keutamaan terhadap kepentingan negara dan keadilan kepada masyarakat awam.
Beliau ujarnya, dilihat terbawa-bawa dengan peranannya sebagai peguam swasta yang perlu mengikut kehendak pelanggan manakala keputusan yang memihak kepada tertuduh juga boleh menimbulkan prasangka orang awam mengenai wujudnya campur tangan luar.
“Bukan setakat prestasi, bahkan moral beliau juga banyak dipertikaikan. Pengumuman untuk menyaman kerajaan Kelantan ketika pilihan raya kecil Parlimen Cameron Highland yang umum tahu ianya untuk memancing undi Orang Asli sangat jelas motif politiknya.
“Beliau juga tidak langsung meminta maaf susulan insiden menari dengan peguam Siti Kassim dan Ketua Hakim Negara, sedangkan ianya telah mencabul prinsip konflik kepentingan.
“Ternyata Tommy sangat lemah untuk meneruskan jawatan ini. Setelah begitu banyak kerosakan yang dilakukan oleh beliau, ianya tidak patut dibiarkan begitu sahaja,” tegasnya.
Selain itu, kata Ahmad Amzad, keputusan tidak masuk akal seperti itu bukan sahaja menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap keadilan dalam proses undang-undang, malah turut mencemarkan imej dan kredibiliti Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau mendesak Tommy dipecat supaya kerosakan yang dibuat olehnya boleh dihentikan segera. – MalaysiaGazette
















