Muhamad Nur Aizat Noor Azam
Muhamad Nur Aizat Noor Azam

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menggelar empat ahli akademik sebagai ‘Profesor Kangkung’ amat memalukan dan meletakkan dirinya antara menteri bermaruah rendah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Muhamad Nur Aizat Noor Azam berkata, hanya kerana ahli akademik itu tidak sependapat dengan keputusan Kabinet untuk meratifikasi Statut Rom, beliau sanggup merendah-rendah martabat dan maruah orang lain.

Beliau menegaskan, sewajarnya Saifuddin secara terhormat sedar diri dan mengambil langkah yang akan dihormati untuk menarik balik gelaran kangkung itu.

“Saya menyarankan anda meletakkan jawatan sebagai Menteri Luar Negeri kerana anda bukan sekali, tapi dua kali gagal dalam usaha kerajaan Malaysia meratifikasi ICERD dan Statut Rom,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin yang menghentam pihak yang didakwa memanipulasi fakta berkaitan Statut Rom, termasuk kepada empat ahli akademik sebagai ‘profesor kangkung’.

Empat ahli akademik yang membentangkan rumusan kepada Majlis Raja-Raja mengenai Statut Rom mengikut perlembagaan pada 2 April lalu ialah Dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr. Rahmat Mohamad; Pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz; pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Fareed Mohd. Hassan; dan Hisham Hanapi.

Rumusan yang didakwa menteri terbabit sebagai mengelirukan, menyebabkan Majlis Raja-Raja menitahkan kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan ratifikasi Statut Rom.

Menurut Muhamad Nur Aizat, rumusan itu adalah berbentuk pendapat semata-mata yang akhirnya digunapakai oleh Majlis Raja-Raja dalam membuat keputusan.

Katanya, sudah pasti Majlis Raja-Raja telah memanggil pelbagai pihak untuk memberikan pendapat masing-masing.

“Mana-mana pihak berhak memberikan pendapat mereka, termasuk empat ahli akademik ini. Mereka adalah pensyarah yang amat disegani dengan pengalaman masing-masing.

“Adakah apabila ada pihak yang memberikan pendapat bercanggah dengan keputusan kerajaan akan dianggap sebagai mengelirukan? Kelayakan mereka disamakan pula dengan ‘kangkung’?

“Jika ini semangat keterbukaan yang dicanangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kebebasan untuk bersuara sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan telah dikuburkan. Dulu konon subur, sekarang masuk kubur,” sindir beliau.

Mengenai kritikan Asheeq Ali Sethi Alivi terhadap empat ahli akademik itu, beliau berkata, Ketua Gabungan Pembebasan Akademik institut pengajian tinggi (IPT) itu nampak lebih cerdik daripada Saifuddin yang secara tidak bertanggungjawab menggelarkan kumpulan berkenaan sebagai ‘profesor kangkung’.

“Sekurang-kurangnya saudara Asheeq Ali menyampaikan kritikan beliau berdasarkan pemahaman dan kajiannya tersendiri. Lebih terhormat daripada terus menggelarkan orang lain sebagai kangkung,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada mana-mana pihak yang masih lagi mempertahankan pendapat bahawa Malaysia perlu menandatangani Statut Rom, eloklah sekiranya mereka berusaha untuk memberikan penjelasan yang dapat menyakinkan rakyat dengan lebih baik.

“Cari solusi untuk memberikan penjelasan sewajarnya bahawa kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong tidak tergugat dengan Statut Rom dan ICC.

“Buatlah kajian kenapa negara kuasa veto seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China tidak menyertai Statut Rom, bukan hanya meneruskan usaha mengherdik, memfitnah atau melabelkan golongan yang mempunyai pendapat bahawa Malaysia tidak sepatutnya menyertai Statut Rom,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast